Anwar PM hanya propaganda pilihanraya kata Anifah
06:09 Sep 25, 2020  |  By SabahKini2
Anwar PM hanya propaganda pilihanraya kata Anifah

Secara matematik, ini tidak betul. Semua pun demi pilihanraya. Dah lama senyap dan dipinggirkan PH maka muncullah

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman berkata, beliau tidak mempercayai Presiden PKR Anwar Ibrahim mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Malah, Anifah percaya dakwaan tergempar dibuat Anwar hanyalah satu propaganda memandangkan pilihan raya negeri (PRN) Sabah sedang berlangsung.

“Sebahagian dari strategi lah…raih undi untuk PKR (di PRN Sabah),” katanya ketika ditemui di Pekan Bingkor hari ini.

Anifah turut berkata mustahil untuk Anwar mempunyai sokongan yang kukuh kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyatakan sokongannya terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Secara matematik, ini tidak betul,” kata Anifah.

Semalam, Anwar mengadakan sidang media di Kuala Lumpur untuk mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan yang kukuh bagi membentuk kerajaan baru dan mendakwa pentadbiran pimpinan Muhyiddin telah runtuh.

Susulan pengumuman Anwar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui memang ramai anggota parlimen Umno menyatakan sokongan kepada Anwar.

Jumlah ahli parlimen yang menyatakan sokongan kepada Anwar masih misteri, hanya Amanah dan DAP secara terbuka menyatakan sokongan terhadap anggota parlimen Port Dickson.

GPS dan PAS masih teguh bersama Muhyiddin.

Anwar telah berjanji untuk menyenaraikan anggota parlimen yang menyokongnya selepas mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang kini sedang gering dan mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.

Warisan dan PTI

Anifah pula mendakwa bahawa Warisan merupakan sebahagian “skim” yang memberikan pengesahan kepada pendatang tanpa izin tersebut.

Ditanya bagaimana kerajaan PCS bakal menyelesaikan masalah itu, Anifah tidak menyatakan sebarang contoh polisi berhubung perkara itu.

“PTI adalah isu kompleks. Kita kena duduk bersama kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah itu. Tetapi saya ada kelebihan kerana saya tahu kerajaan Filipina dengan baik,” kata Anifah yang merupakan bekas menteri luar.

Anifah berkata PCS mahu menghantar pulang pendatang tanpa izin dan ini merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Anifah juga menekankan kepentingan mempunyai hubungan yang aman dengan selatan Filipina dan kerajaan PCS akan membantu negara itu dari aspek ekonomi, untuk mengurangkan pendatang tanpa izn ke Sabah.

“Jadi itu salah satu cara. Ada banyak lagi penyelesaian,” katanya.

PTI merujuk kepada pendatang tanpa izin dan ia antara isu yang kerap digunakan setiap parti sepanjang tempoh berkempen bagi PRN Sabah itu.

Menurut Banci 2010, satu dari empat rakyat Sabah bukan warganegara. Wilayah itu mempunyai penduduk bukan warganegara tertinggi di negara.

4 Comments