Sabah bangkit jika anak Sabah tulen memimpin negeri
15:09 Sep 25, 2020  |  By SabahKini2
Sabah bangkit jika anak Sabah tulen memimpin negeri

Sabah mampu bangkit dan maju ke depan sekiranya Sabah di pimpin oleh anak Sabah yang berwibawa. Merentasi fahaman politik, Sabah mempunyai pemimpin yang berkaliber.

Sabah: Kepimpinan Anak Sabah

Poster Datuk Seri Shafie Apdal terpampar di seluruh Sabah dengan tertera perkataan Unity. Unity bermakna Perpaduan. Kata Najib Unity untuk Semporna!

Sepanjang kempen Pilihanraya Negeri Sabah 2020, Unity menjadi laungan keramat Datuk Seri Shafie Apdal. Malangnya laungan Unity ini hanyalah retorik semata-mata!

Hakikatnya, Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal telah gagal dan menghampakan rakyat Sabah yang dahagakan pembangunan ekonomi dan sosial serta kualiti hidup yang lebih baik.

Reality check. Sabah kini menghadapi pelbagai isu yang amat mencabar. Sabah mempunyai jumlah rakyat miskin yang ramai. Pada tahun 2019, Sabah mencatatkan jumlah kemiskinan mutlak tertinggi di Malaysia (19.5%). Pada masa yang sama, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Sabah ialah RM 2,537 sebulan, ke-2 tertinggi di Malaysia. Ini menunjukkan isi rumah Sabah menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

[ARTIKEL BERKAITAN- 26 bulan Warisan: Realiti rakyat Sabah miskin, pengangguran tinggi, jurang pendapatan melebar, ekonomi lembap ]

Tambahan lagi, ramai rakyat Sabah menerima pendapatan yang rendah. Beberapa daerah di Sabah - Pitas, Tongod, Kota Marudu dan Kudat, mencatatkan pendapatan isi rumah terendah di Malaysia. Di Pitas, Pendapatan Isi Rumah Kasar Penengah ialah RM 1,999, iaitu Pendapatan Isi Rumah Kasar Penengah daerah terendah di Malaysia! Di samping itu, Pekali Gini Sabah ialah 0.397, tertinggi di Malaysia. Pekali Gini yang tinggi menggambarkan agihan pendapatan rakyat Sabah yang tidak seimbang.

Cabaran Sabah lebih meruncing dengan pertumbuhan ekonomi yang lembap. Untuk dua tahun berturut-turut, Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi negeri yang terendah di Malaysia, 1.5% (2018) dan 0.5% (2019). Akibatnya, kadar pengganguran di Sabah kekal tinggi pada 5.8%.

Isu-isu utama tersebut – ramai rakyat miskin, kadar pengangguran tinggi, pertumbuhan ekonomi yang lembap, serta jurang pendapatan rakyat yang besar, menjadikan Unity yang dilaungkan oleh Datuk Seri Shafie Apdal tidak mungkin tercapai, malah omong-omong kosong! Sebaliknya, isu-isu tersebut boleh menyebabkan situasi kucar-kacir yang menjejaskan keamanan serta keselamatan Sabah. Hungry people are angry people!

Kepimpinan Kerajaan Sabah yang lemah serta tiada wawasan akan menyebabkan isu-isu utama tersebut terus membesar. Sabah mampu bangkit dan maju ke depan sekiranya Sabah di pimpin oleh anak Sabah yang berwibawa. Merentasi fahaman politik, Sabah mempunyai pemimpin yang berkaliber.

Anifah Aman

Datuk Seri Anifah Aman merupakan seorang pemimpin yang memiliki pengalaman yang luas. Beliau pernah memegang beberapa portfolio sebagai Timbalan Menteri selama 9 tahun (1999 - 2008), seterusnya menjadi Menteri Luar Negeri Malaysia selama 9 tahun (2009 - 2018). Datuk Seri Anifah merupakan anak Sabah dan Borneo pertama dilantik sebagai Menteri Luar Negeri Malaysia, dan merupakan Menteri Luar Negeri Malaysia yang ke-3 terlama (9 tahun 1 bulan), selepas Tunku Abdul Rahman (10 tahun) dan Tan Sri Syed Hamid Albar (9 tahun 2 bulan).

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anifah, Malaysia berjaya menduduki kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2015 - 2016). Sepanjang menerajui portfolio Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Anifah telah menjalin hubungan serta kerjasama erat di seluruh dunia. Hubungan erat ini boleh memperhebat pembangunan Sabah.

Raime Unggi

Datuk Raime Unggi pernah menjadi Ahli Parlimen Tenom selama tiga penggal (2004 - 2018). Dalam tempoh tersebut, beliau merupakan Pengerusi Kumpulan Syarikat Desa, iaitu pengeluar produk susu ternama di Sabah dan Borneo. Orang Sabah sudah pasti mengenali dan membesar dengan Desa Milk yang dihasilkan oleh Desa Cattle, iaitu sebuah syarikat di bawah Kumpulan Syarikat Desa. Desa Dairy Farm di Kundasang, yang terletak di kaki Gunung Kinabalu, terkenal sebagai ‘New Zealand of Malaysia’ dan merupakan destinasi pelancongan yang utama di Sabah.

Di bawah kepimpinan Datuk Raime beserta dengan warga Kumpulan Syarikat Desa, Kumpulan Syarikat Desa telah berjaya menjalani transformasi menjadi sebuah organisasi yang berdaya-saing dan menguntungkan. Untuk Tahun Kewangan 2018, Desa Cattle mencatatkan Perolehan Tertahan (Retained Earnings) sebanyak RM 125 juta, Aset Semasa sebanyak RM 45 juta serta Aset Bukan Semasa sebanyak RM 111 juta. Amat mengagumkan!

Masidi Manjun

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, merupakan bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah selama lebih sepuluh tahun. Sepanjang kepimpinan beliau, sektor pelancongan Sabah mengalami pertumbuhan yang pesat.

Pada tahun 2017, jumlah kedatangan pelancong ke Sabah adalah seramai 3.42 juta, berbanding 2.4 juta (2007). Pencapaian yang amat membanggakan ini di capai di bawah kepimpinan Datuk Seri Masidi walaupun Sabah menghadapi isu penculikan dan pencerobohan semasa tempoh tersebut.

Ronald Kiandee

Datuk Seri Ronald Kiandee merupakan anak Sabah pertama dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia. Ketika pandemik Covid-19 memuncak, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, telah berjaya mengemudi sektor pertanian negara, iaitu satu-satunya sektor ekonomi negara yang menunjukkan pertumbuhan, dengan pertumbuhan sebanyak 1%, berbanding sektor-sektor lain yang telah mengalami pengucupan yang ketara sehingga 45%.

MAFI, di bawah kepimpinan Datuk Seri Ronald Kiandee, mampu melonjakkan transformasi sektor pertanian Sabah, yang merupakan penyumbang ke-3 terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah sebanyak RM 13.7 billion (16.1%), serta menyediakan 495,000 pekerjaan (26%).

Isu-isu utama Sabah memerlukan penyelesaian menyeluruh segera di bawah kepimpinan Kerajaan Sabah yang berwawasan. Kuasa memimpin di tangan yang salah akan terus merosakkan agenda pembangunan Sabah. Kuasa memimpin mesti diberikan kepada anak Sabah yang berkaliber untuk memastikan rakyat Sabah dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan aman.

A.A

55 Comments