PKPDB di kawasan penjara Alor Setar bermula tengah malam ini
10:10 Oct 04, 2020  |  By SabahKini2
PKPDB di kawasan penjara Alor Setar bermula tengah malam ini

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam kawasan penjara terbabit.

PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar selama 14 hari bermula tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam kawasan penjara terbabit.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan kes positif di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah.

“Mengambil kira peningkatan jumlah kes yang berlaku, kerajaan atas nasihat menteri kesihatan memutuskan untuk melaksanakan arahan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan penjara, termasuk kuarters kakitangan selama 14 hari berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam ini, 5 Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, pelaksanakan PKPDB adalah bagi membendung jangkitan dan penularan dalam kawasan tersebut, selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh ini juga, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan ini, termasuk lawatan oleh keluarga tahanan tidak dibenarkan,” katanya.

Semalam sebanyak 317 jangkitan baru direkodkan di Malaysia, sekali gus mencatatkan angka jankitan harian tertinggi dan 120 daripadanya melibatkan negeri Kedah.

12,088 jangkitan Covid-19 direkodkan di Malaysia secara keseluruhan setakat ini.

Comment