PKPB Di Kota Kinabalu, Putatan, Penampang mulai 7 Oktober
19:10 Oct 05, 2020  |  By SabahKini2
PKPB Di Kota Kinabalu, Putatan, Penampang mulai  7 Oktober

Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan

Kerajaan hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di daerah Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan berkuatkuasa tengah malam 7 Okt.

“Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan,” kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

“Hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu dibenarkan.”

Keputusan ini dibuat selepas mesyuarat khas menteri-menteri hari ini mendengar situasi semasa Covid-19 di seluruh Sabah yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan dan cadangan kerajaan Sabah.

Pelaksanaan PKPB ini, katanya, bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

Berikut perincian PKPB dan sekatan lain yang akan berkuat kuasa 12.01 tengah malam Rabu ini.

  • Kemasukan ke Sabah adalah tidak dibenarkan kecuali bagi warganegara yang berasal dari Sabah, pemegang pas-pas yang dikeluarkan imigresen Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan pasangan yang menjalankan perkhidmatan perlu (essential services). Selain kategori ini, mereka wajib mendapatkan kebenaran khas daripada kerajaan Sabah.
  • Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan dan keperluan rumah.
  • Perniagaan bukan perkhidmatan perlu (non-essential service) hendaklah ditutup.
  • Restoran, kedai makan dan kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 hingga 6.00 petang.
  • Pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran, dan bawa balik sahaja.
  • Waktu operasi stesen minyak antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.
  • Operasi pasar harian antara hingga 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.
  • Operasi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani tidak dibenarkan.
  • Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.
  • Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.
  • Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi.
  • Pergerakan petugas atau penumpang perlu mendapatkan kelulusan polis terlebih dahulu.
  • Kenderaan yang membawa barangan keperluan (essential) dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu.
  • Perkhidmatan teksi atau e-panggilan (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja.
  • Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.
  • Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa.
  • Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB.
  • Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.
  • Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu (essential service) dengan kelulusan polis.
  • Masjid, surau, rumah ibadat bukan islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak tidak dibenarkan.
  • Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, dan budaya tidak dibenarkan.
  • Polis bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan tentera, Angkatan Pertahanan Awam & Rela

 

Sementara itu Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Mohd Noor memutuskan Kerajaan negeri Sabah menutup semua sekolah di negeri ini termasuk taska, pusat jagaan dan taman asuhan berkuat kuasa hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata keputusan itu dibuat selepas angka bilangan kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada tiga angka.

Penutupan tersebut turut merangkumi beberapa sektor seperti menutup pasaraya kecuali premis perniagaan yang membekalkan perkhidmatan dan barangan perlu, tamu, pasar malam dan pasar tani, rumah-rumah ibadat, taman awam dan rekreasi.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan perkara tersebut jika diberikan persetujuan oleh Majlis Keselamatan Negara MKN.

“Kita hanya membenarkan operasi premis perniagaan untuk perkhidmatan dan barangan perlu.

“Menutup sekolah-sekolah termasuk taska, pusat jagaan dan tadika serta menghadkan kapasiti kenderaan persendirian kepada dua orang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Tambahnya pengurangan kapasiti penumpang turut melibatkan kenderaan awam kepada 50 peratus kapasiti seperti perkhidmatan bas henti-henti.

 

 

Comment