Bung Moktar dahului angkat sumpah 74 ADUN Sabah
21:10 Oct 09, 2020  |  By SabahKini2
Bung Moktar dahului angkat sumpah 74 ADUN Sabah

Berikutan ketiadaan Hajiji, upacara angkat sumpah yang bermula kira-kira jam 2 petang itu didahului tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (PN-Tambunan) dan Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS-Tambu

KOTA KINABALU: Seramai 74 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengangkat sumpah pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang ini.

Daripada jumlah itu, 70 ialah ADUN yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September lalu, manakala empat adalah ADUN Dilantik.

Seramai tiga ADUN tidak hadir pada upacara itu, termasuk Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor yang juga ADUN Sulaman, yang dilaporkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

Dua lagi ADUN yang tidak hadir ialah Datuk Jaujan Sambakong (WARISAN-Sulabayan) dan Manis Muka Dara (WARISAN-Bugaya).

Berikutan ketiadaan Hajiji, upacara angkat sumpah yang bermula kira-kira jam 2 petang itu didahului tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (PN-Tambunan) dan Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS-Tambunan).

Ia kemudian disusuli tujuh menteri dan 18 pembantu menteri Kabinet Sabah iaitu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Masidi Manjun (PN-Karanaan); Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli) dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif (PN-Membakut).

Selebihnya, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau); Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kebajikan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya (BN-Tanjung Keramat); Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Yakub Khan (BN-Karambunai) dan Menteri Belia dan Sukan (PN-Sook).

Sementara itu empat ADUN Dilantik termasuk wakil PAS, Dr Aliakbar Gulasan turut mengangkat sumpah bersama tiga lagi Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi; Bendahari UMNO Sabah, Suhaimi Nasir; dan Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Parlimen Libaran, Jaffari Waliam.

Semua ADUN mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya.

4 Comments