Program Saringan bersasar putuskan rantaian COVID-19
23:10 Oct 15, 2020  |  By SabahKini2
Program Saringan bersasar putuskan rantaian COVID-19

Penduduk kampung dinasihatkan supaya tidak melepaskan peluang untuk menjalani ujian saringan COVID-19 yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau.

TAWAU: Penduduk kampung dinasihatkan supaya tidak melepaskan peluang untuk menjalani ujian saringan COVID-19 yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata program-program saringan bersasar ini dilakukan sebagai usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.

"Sekiranya penduduk kampung tidak mengambil peluang ini, dikhuatiri jangkitan wabak akan terus menular di kalangan masyarakat dengan lebih luas lagi,"katanya semasa menghadiri program ujian saringan COVID-19 di Kampung Batu Payung, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan secara percuma itu merupakan inisiatif pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya semua rakyat di Malaysia bebas daripada jangkitan wabak COVID-19.

"Saya melihat kakitangan PKK Tawau menjalankan tugas dengan penuh komited dan dibantu oleh badan sukarelawan Malaysia Relief Agency (MRA) Sabah.

"Namun sedikit mengecewakan kehadiran penduduk di sini kurang memberangsangkan dan kesedaran mereka untuk tampil membuat pemeriksaan masih agak rendah,"katanya.

Nizam yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas meminta semua penduduk kampung untuk menjalani ujian saringan tersebut sekiranya program itu dilaksanakan di kawasan berhampiran.

"Kita sedia maklum negeri Sabah pada masa kini agak merisaukan dengan kadar jangkitan semakin meningkat setiap hari sehingga ada kawasan yang sudah dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

"Semua rakyat Sabah dinasihatkan supaya menjalani kehiupan norma baharu dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19,"katanya. - UB

4 Comments