KKM Pertingkat Kapasiti maksimum makmal Covid-19 54,000 ujian sehari
03:10 Oct 16, 2020  |  By SabahKini2
KKM Pertingkat Kapasiti maksimum makmal Covid-19  54,000 ujian sehari

Menteri KKM Dr Adham Baba berkata, usaha meningkatkan kapasiti makmal ini hasil kerjasama semua 61 makmal KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, swasta, tentera, dan universiti awam dan swasta.

Kementerian Kesihatan meningkatkan kapasiti maksimum makmal Covid-19 kepada 54,706 ujian RT-PCR bagi setiap hari, dalam usaha mengukuhkan kesiapsiagaan mendepani wabak.

Menteri KKM Dr Adham Baba berkata, usaha meningkatkan kapasiti makmal ini hasil kerjasama semua 61 makmal kementeriannya, dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, swasta, tentera, dan universiti awam dan swasta.

Menurutnya, 13 makmal universiti awam bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan makmal swasta dalam proses menggembleng sumber ke tahap maksimum.

 

“Setakat 14 Oktober, 42% kapasiti makmal negara digunakan dan peratusan ini dijangka meningkat untuk menguji lebih banyak sampel, terutama dari zon merah, zon kuning serta aktiviti saringan dan pengesanan aktif kontak rapat oleh KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Sabah, yang melaporkan kes jangkitan baharu tertinggi muktahir ini, makmal kesihatan awam di Kota Kinabalu, makmal Hospital Queen Elizabeth, dan makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga sudah beroperasi, dengan kapasiti 2,500 ujian sehari.

“Baki sampel dari keseluruhan Sabah dihantar dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia ke Semenanjung. Bahkan, makmal di Klinik Kesihatan Tawau Kubota juga sedang dilengkapkan supaya dapat menjalankan ujian RT-PCR dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

“Di lapangan pula, bagi membantu pengesanan awal kes positif Covid-19 lebih banyak, ujian RTK-Ag sudah digunakan,” katanya.

Comment