Shafie 'Sanggup Mati' bubar DUN punca COVID-19 merebak, Warisan PH berhenti bohongi rakyat
14:10 Oct 19, 2020  |  By SabahKini2
Shafie 'Sanggup Mati' bubar DUN punca COVID-19 merebak, Warisan PH berhenti bohongi rakyat

Warisan Plus wajar mengakui punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di Sabah dan seluruh negara, dan bukannya menyalahkan orang lain. Shafie guna kuasa bubar DUN akhirnya tewas. Kesannya rakyat derita

Surat terbuka kepada rakyat Malaysia oleh Tan Sri Musa Haji Aman, Kota Kinabalu, 19 Oktober, 2020

Saya berasa terpanggil menulis surat ini bagi menjelaskan punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di Malaysia dan membuka mata rakyat terhadap pembohongan dan fitnah yang didalangi jentera propaganda Warisan Plus.

Warisan Plus wajar mengakui punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di Sabah dan seluruh negara, dan bukannya menyalahkan saya dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sekiranya Warisan Plus memenangi pilihan raya negeri Sabah lalu, saya tidak fikir mana-mana pemimpinnya akan menyentuh isu pandemik berkenaan.

Tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka, hari ini kita dapat melihat pemimpin Warisan Plus dan Pakatan Harapan (PH) sewenang-wenangnya menuding jari termasuk pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, yang dengan mudah menyatakan cubaan saya menggulingkan Presiden Warisan, Shafie Apdal, membawa kepada pilihan raya negeri.

Dalam usaha berterusan DAP untuk mengelirukan rakyat, Ahli Parlimennya, Teresa Kok, berkeras menyatakan pilihan raya negeri Sabah berpunca daripada saya, Musa Aman, kerana saya cuba menggulingkan kerajaan Warisan Plus dengan membentuk “kerajaan pintu belakang” dan seterusnya mendakwa tindakan saya sebagai “dosa utama” yang menyebabkan peningkatan kes.

Saya ingin mengingatkan Teresa Kok, PH dan Warisan Plus dan sesiapa saja pemimpinnya, bahawa pakatan dianggotai DAP, PKR dan Amanah yang menyokong penuh Shafie dalam menasihati TYT untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Shafie yang menyebarkan video bahawa beliau sanggup mati daripada menyerahkan kembali kuasa kepada saya. Ironinya, beliau yang lebih awal merampas pentadbiran kerajaan daripada kami selepas PRU-14.

[TONTON VIDEO BERANI MATI SHAFIE]

Warisan Plus dan PH mesti berhenti membohongi diri sendiri dan rakyat mengenai siapa sebenarnya kerajaan pintu belakang di Sabah.

Shafie mendesak pilihan raya diadakan kerana menyedari beliau hilang keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri. Beliau sepatutnya bertindak sebagai seorang budiman, namun memilih untuk menasihati TYT supaya membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya walaupun menyedari kesan melakukannya di tengah-tengah pandemik.


BUKTI SHAFIE MENGGUNAKAN KUASA BUBAR DUN MENASIHAT TYT. PEMIMPIN PH JUGA MAHU BUBAR

Beliau boleh memilih untuk meletak jawatan secara bertanggungjawab atau membawa Sabah ke kancah pilihan raya ketika pandemik Covid-19. Beliau membuat pilihan yang jelas salah dan mementingkan diri sendiri.

Tidak seperti Shafie, Menteri Besar dan Ketua Menteri lain bertindak secara matang dan terpuji - mereka meletak jawatan. Tiada yang memilih untuk membahayakan nyawa rakyat di negeri masing-masing.

Sejak pilihan raya lalu, Sabah dan seluruh negara menyaksikan peningkatan ketara kes jangkitan Covid dengan ratusan kes baharu setiap hari.

Saya berasa amat terkesan dengan perkembangan menyedihkan ini dan saya berpendapat beberapa penekanan mesti dibuat supaya keadaan sebenar diperjelaskan manakala rakyat boleh menilai sendiri siapa yang bertanggungjawab terhadap bencana ini.

Saya ingin menegaskan, tiada mana-mana 32 bekas wakil rakyat yang menyatakan sokongan terhadap saya untuk membentuk Kerajaan Negeri pada 29 Julai 2020 atau saya sendiri, pernah memohon Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau pilihan raya diadakan di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Lebih penting, tiada mana-mana antara 32 wakil rakyat itu atau saya mempunyai kuasa untuk meminta Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Pilihan raya negeri itu berpunca daripada nasihat yang salah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Mengambil kira ancaman terhadap nyawa rakyat Sabah, kami mengarahkan peguam supaya memohon penangguhan pilihan raya kerana adalah berbahaya untuk mengadakan pilihan raya dalam suasana pandemik berleluasa.

Peguam utama kami merayu dengan panjang lebar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, memohon Mahkamah membenarkan penangguhan kerana kami tidak mahu membahayakan nyawa rakyat.

Bagaimanapun, peguam mewakili bekas Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah keras menentang kami dan menyifatkannya sebagai hujah terdesak untuk menghalang pilihan raya. Saya menolak keras dakwaan bahawa ia adalah hujah terdesak.

Dalam hal ini, Shafie Apdal mesti memberi penjelasan kepada rakyat Sabah mengapa peguamnya menolak permohonan penangguhan pilihan raya ketika pandemik.

Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan daripada pentadbiran negeri terdahulu mengapa Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan ketika suasana pandemik Covid masih berleluasa.

Jelas, peningkatan mendadak kes jangkitan Covid adalah berpunca daripada mereka yang menyebabkan pilihan raya dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Saya menolak keras fitnah melampau dan tuduhan tidak berasas yang dibuat terhadap mereka yang menyokong saya dan diri saya, kononnya kami menjadi punca peningakatan kes pandemik Covid-19 di Sabah dan seluruh negara.


Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman
Bekas Ketua Menteri Sabah

11 Comments