Sabah Belum Sampai Tahap ‘Lockdown’ - Masidi Manjun
04:10 Oct 20, 2020  |  By SabahKini2
Sabah Belum Sampai Tahap ‘Lockdown’ - Masidi Manjun

Walaupun “lockdown” antara pilihan difikir dan dipertimbangkan, namun kerajaan masih terbuka kepada pilihan yang boleh melandaikan penularan jangkitan kepada tahap yang boleh dikawal.

KOTA KINABALU: Menteri kerajaan tempatan dan perumahan Masidi Manjun berkata keadaan penularan wabak Covid-19 di Sabah belum sampai kepada tahap perlu melaksanakan perintah berkurung atau “lockdown”.

Katanya, kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan kerana mengambil kira implikasi akan berlaku.

“Kita bukan sekadar mengurus Covid-19 kerana dalam mengurus Covid-19, kita juga mengambil kira ekonomi kita.

“Ketika ini ekonomi kita kurang bugar akibat pandemik dan keadaan ekonomi juga belum pulih daripada masalah yang timbul semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Masidi berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memikirkan semua pilihan yang ada dengan mengambil kira perkembangan penularan wabak itu.

Katanya, walaupun “lockdown” antara pilihan difikir dan dipertimbangkan, namun kerajaan masih terbuka kepada pilihan yang boleh melandaikan penularan jangkitan kepada tahap yang boleh dikawal.

“Kerajaan kena mengambil kira keadaan di mana bukan semua rakyat bergaji dan berpendapatan tetap.

“Ada antara rakyat yang bergantung kepada pendapatan harian menerusi aktiviti perniagaan dan beberapa aktiviti ekonomi lain.

“Kita kena mengambil kira semua perkara dalam setiap keputusan, jangan mengabaikan mereka ini sehingga mengakibatkan mereka tidak dapat mencari rezeki untuk menampung keperluan keluarga,” katanya.

Sabah terus mencatatkan jangkitan Covid-19 tertinggi iaitu 643 kes selain 3 kematian dilaporkan hari ini.

Mengenai bantuan bakul makanan 57329 bakul makanan diedarkan kepada kumpulan sasaran setakat semalam.



8 Comments