Arahan kerja dari rumah bagi sektor awam, swasta di kawasan PKPB bermula 22 Oktober
15:10 Oct 20, 2020  |  By SabahKini2
Arahan kerja dari rumah bagi sektor awam, swasta di kawasan PKPB bermula 22 Oktober

Melihat kepada trend peningkatan kes positif Covid-19 di negeri dan wilayah-wilayah ini, terdapat keperluan bagi memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini.

Sidang khas Majlis Kerselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, hari ini memutuskan bahawa semua pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta di bahagian pengurusan dan pengawasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak lagi dibenarkan ke pejabat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakub berkata, mereka walau bagaimanapun boleh bekerja dari rumah berkuat kuasa Khamis, 22 Oktober ini.

Ismail Sabri berkata usaha itu bagi membendung penularan wabak Covid-19, dengan mengurangkan jumlah orang ramai yang bekerja di pejabat dan kilang.

“Sidang khas MKN yang dipengerusikan oleh perdana menteri hari ini medengar pembentangan KKM berkenaan situasi semasa Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

“Melihat kepada trend peningkatan kes positif Covid-19 di negeri dan wilayah-wilayah ini, terdapat keperluan bagi memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini.

“KKM juga sebelum ini telah mengumumkan terdapat sembilan kluster dari tempat kerja di negeri Selangor sehingga hari ini.

"Justeru, atas nasihat KKM, sidang khas MKN hari ini bersetuju agar pekerja-pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabatdan hanya bekerja dari rumah,” katanya.

Ismail Sabri berkata tindakan itu akan mengurangkan 1 juta pekerja dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah - 800 ribu di sektor industri, dan 200 ribu di sektor awam - daripada hadir ke pejabat atau kilang masing-masing.

“Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

“Pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini,” katanya.

Dia juga berkata, pekerja yang tinggal di kawasan zon merah perlu melakukan swab test dan jika pihak majikan mencarum dengan PERKESO, kos akan ditanggung.

Menurutnya lagi, arahan yang akan berkuatkuasa Khamis ini sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat.

1 Comment