PKPD Kg Saguking, Sebor di Labuan
09:10 Oct 21, 2020  |  By SabahKini2
PKPD Kg Saguking, Sebor di Labuan

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju mengenakan PKPD di dua kampung di Labuan.

LABUAN: Susulan Penduduk kampung dalam kluster baharu Covid-19 Saguking, Sebor di arah memakai gelang tangan kuarantin di rumah berikutan peningkatan kes positif di kampung yang sebahagian kecilnya dihuni pendatang tanpa izin (Pati) akhirnya dua kampung itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD sehingga 3 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu membabitkan 8,062 penduduk.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju mengenakan PKPD di dua kampung di Labuan.

“Ini berikutan peningkatan kes Covid-19. Pelaksanaan PKPD bagi membolehkan pergerakan keluar masuk dikawal dan memudahkan ujian saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam sidang media

Beliau berkata, kawalan keselamatan di kampung berkenaan juga akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, kebajikan penduduk pula akan dipantau oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

“Penduduk terbabit perlu menjalani kuarantin di rumah (HSO) dan memakai gelang pengawasan kepada kontak rapat dan mereka bergejala yang sudah diambil sampel.

“Pergerakan keluar masuk membabitkan kawasan PKPD tidak dibenarkan kecuali kecemasan. Penduduk yang bekerja juga tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu.

“Semua aktiviti sosial, keagamaan mahupun perhimpunan tidak dibenarkan. Aktiviti ‘barter trade’ juga tidak dibenarkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memberi sedikit kelonggaran iaitu kedai runcit dan premis makanan dibenarkan operasi dari pagi sehingga 6 petang bagi membolehkan penduduk mendapatkan makanan dan keperluan asas lain. 

Sebelum ini dilaporkan sekurang-kurangnya 30 kes baharu Covid-19 direkodkan di kampung itu dan 18 daripada mereka adalah PTI.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, saringan bersasar ke atas penduduk kampung di Saguking, Sebor diteruskan hari ini dan tindakan itu sebahagian daripada perintah duduk di rumah untuk memastikan mereka berada dalam jejari lingkungan yang dibenarkan.

“Kami sedang melakukan yang terbaik bagi mendapatkan semua penduduk kampung di Saguking, Sebor untuk memakai gelang tangan itu supaya mereka duduk di rumah serta tidak merayau di bandar dan menjadi risiko kepada masyarakat tempatan,” katanya

Saguking, yang terletak kira-kira 400 meter dari pusat bandar Labuan ialah kampung Melayu Brunei-Kedayan tetapi kini beransur-ansur terbahagi kepada dua bahagian dengan kawasan di sebelah lembah bertukar kepada perkampungan setinggan diatas air dikenali sebagai Saguking, Sebor.

Dr Ismuni berkata, satu lagi penempatan di atas air Kampung Patau-Patau 1 dan 2 juga menyaksikan ratusan penduduk kampung termasuk kanak-kanak terbabit dalam saringan bersasar itu beratur untuk ujian calitan dan polymerase chain reaction (PCR) di balai raya.

Labuan merekodkan peningkatan kes setiap hari sejak seminggu lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 154 kes setakat semalam dan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 17 hingga 30 Oktober.

Pulau bebas cukai itu merekodkan empat kluster aktif, iaitu Saguking (39 kes), Bah Bangat (11 kes), Bah Bundle (22 kes termasuk yang merebak di Johor) dan Bah Layangan yang menular ke Rembau, Negeri Sembilan dengan 13 kes (hanya satu kes di Labuan).


 

Comment