RM25.2 juta Terminal Bas Bersepadu Sandakan bukti kerajaan BN utamakan rakyat
23:01 Jan 07, 2018  |  By SabahKini2
RM25.2 juta Terminal Bas Bersepadu Sandakan bukti kerajaan BN utamakan rakyat

Terminal Bas Bersepadu Sandakan bernilai RM25.2 juta, dengan RM16.2 juta dibiayai kerajaan persekutuan dan RM9 juta lagi oleh kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Terminal Bas Bersepadu Sandakan yang akan dilancarkan tidak lama lagi, dijangka akan memberikan keselesaan kepada pelawat, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kompleks itu hari ini, Musa berkata projek itu dibiayai kerajaan persekutuan dan negeri. Ia kini dalam fasa akhir pembinaan.

Kos projek tersebut bernilai RM25.2 juta, dengan RM16.2 juta dibiayai kerajaan persekutuan dan RM9 juta lagi oleh kerajaan Sabah.

“Saya gembira projek ini berjalan dengan baik.

“Kompleks ini, apabila selesai, akan menyediakan ruang yang luas dan selesa untuk bas, penumpang serta parkir yang cukup untuk pelawat,” katanya.

Musa, yang juga Adun Sungai Sibuga, berkata kerajaan sebenarnya menerima banyak permintaan daripada rakyat supaya disediakan terminal bas yang sesuai dan moden di Sandakan kerana pengangkutan bas penting kepada rakyat di sini.

Beliau berkata kompleks itu, yang terletak di Batu 1½ di Sandakan dapat menampung lebih banyak bas yang masuk dan keluar dari Sandakan dengan lebih cekap sebaik sahaja projek itu selesai.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mendengar dan merancang projek berdasarkan keperluan rakyat terutama projek pembangunan infrastruktur.

“Ini membuktikan kerajaan BN sentiasa sensitif terhadap keperluan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, menurut Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk James Wong, kompleks itu sudah siap 90% kecuali untuk kerja luaran dan pemasangan Sistem Penyiaran Terminal (TBS), yang pertama digunakan di negeri ini.

“Terminal baharu ini akan dilengkapi dengan sistem berkomputer yang akan membolehkan penumpang membeli tiket secara atas talian. Ini akan menghapuskan ‘ulat tiket’ yang menjadi masalah di sini.”

Kompleks itu, katanya, akan mempunyai 12 lorong bas utama, kedai runcit, kiosk, medan selera, kawasan menunggu, parkir serta kawasan berasingan bagi kargo dan penumpang.

Ia mampu menampung 30 hingga 50 bas setiap hari dan sehingga 70 bas semasa musim perayaan.

sumber asal: FMT

Comment