Sarawak keluarkan pajakan perlombongan kepada Petros
07:10 Oct 31, 2020  |  By SabahKini2
Sarawak keluarkan pajakan perlombongan kepada Petros

Kerajaan negeri, melalui Petros, akan mempunyai kawalan, dan hakmilik undang-undang kepada, semua minyak dan gas asli yang dihasilkan dari kawasan pesisir, dan untuk memilih dan melantik kontraktor atau memulakan usaha dengan pelabur untuk meneroka dan me

KUCHING- Kerajaan Sarawak mengeluarkan pajakan perlombongan kepada syarikat minyak dan gasnya (O&G), Petroleum Sarawak Bhd (Petros), untuk menjalankan perlombongan O&G di kawasan pesisir, melambangkan permulaan usaha untuk melaksanakan hak Perlembagaan Negeri untuk mengawal selia perlombongan minyak di kawasan pesisir. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang membuat pengumuman itu pada malam ini berkata pajakan itu untuk Adong Kecil West di daerah Miri dan blok Engkabang di daerah Marudi. 

“Kerajaan negeri, melalui Petros, akan mempunyai kawalan, dan hakmilik undang-undang kepada, semua minyak dan gas asli yang dihasilkan dari kawasan pesisir, dan untuk memilih dan melantik kontraktor atau memulakan usaha dengan pelabur untuk meneroka dan menghasilkan O&G dari pesisir Sarawak,” katanya pada majlis makan malam Petros untuk penggiat industri (O&G) negeri di sini.

Beliau berkata pengeluaran pajakan itu direalisasikan melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 negeri, yang mengawal selia perlombongan minyak di Sarawak dan pelantar benuanya, serta di bawah Perkara 2 (c) Senarai II (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,

“Ordinan Perlombongan Minyak tidak pernah dimansuhkan walaupun dalam tempoh Perisytiharan Darurat 1969. Kerajaan negeri amat komited untuk mengawal selia perlombongan minyak di negeri ini untuk melindungi kepentingan dan aspirasi rakyat Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata sejak tahun 1970-an, tumpuan terhadap perlombongan minyak adalah di kawasan luar pesisir negeri iaitu rizab minyak dan gas asli telah ditemui dan kini sedang dihasilkan.

“Walaupun terdapat usaha penerokaan yang pesat sejak tahun 1980-an oleh pelbagai syarikat O&G pesisir antarabangsa (Sarawak), hasilnya amat sederhana. (Bagaimanapun,) kami tetap berharap bahawa kami akan dapat membuktikan rizab komersial pesisir akan memberi prospek yang baik kepada negeri,” katanya.  

Kerajaan negeri akan mewujudkan rangka kerja dan persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan dan adil untuk menarik pelabur menyertai dalam pembangunan industri O&G di Sarawak, katanya. 

“Kami akan terus bekerjasama dengan penggiat industri sedia ada yang telah beroperasi di Sarawak, termasuk Petronas dan Shell,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan mengukuhkan peranan Petros dalam menerajui penglibatan negeri yang dipertingkatkan dalam industri O&G terutamanya dalam sektor hiliran. 

“Usaha ini ke arah mendapatkan bekalan gas asli yang mencukupi yang diperlukan untuk memacu agenda pembangunan perindustrian negeri, termasuk mewujudkan hab petrokimia dan loji pemprosesan gas untuk meningkatkan jaminan bekalan gas petroleum cecair (LPG) bagi memenuhi permintaan terhadap LPG yang semakin meningkat di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

5 Comments