RM164 juta dibelanja perangi COVID-19 di Sabah pada Sept-Okt tahun ini - Dr Adham
05:10 Oct 31, 2020  |  By SabahKini2
RM164 juta dibelanja perangi COVID-19 di Sabah pada Sept-Okt tahun ini - Dr Adham

RM103,845,131 peruntukan mengurus digunakan menyedia keperluan seperti Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) dan Consumables; Reagen serta aset mudah alih, termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan. RM60,835,002 lagi peruntukan pembangunan JKNS

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM164,680,133 untuk mempertingkatkan usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 di Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, peruntukan itu dari September hingga Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM103,845,131 adalah daripada peruntukan mengurus dan telah digunakan untuk menyediakan keperluan seperti Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) dan Consumables; Reagen serta aset mudah alih, termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.

“Baki jumlah tersebut sebanyak RM60,835,002 adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan oleh Jabatan Kesihatan Sabah untuk menambahbaik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik ICU di hospital dan juga perolehan kenderaan serta peralatan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara TUDM Subang, untuk menerbangkan segera sebahagian peralatan berkenaan ke Sabah.

Penerbangan pesawat TUDM turut membawa peralatan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO dan swasta.

Komitmen tinggi kerajaan dalam membantu menangani wabak Covid-19 di Sabah dengan menyalurkan segera peruntukan ini sangat penting demi melindungi keselamatan rakyat.

“Justeru, kita berharap tindakan pantas kerajaan menangani Covid-19 di Sabah mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak.

“Kerjasama semua pihak amat dialu-alukan selaras dengan pendekatan whole of government approach dan whole of society approach. KKM yakin pendekatan ini akan dapat memainkan peranan berkesan bagi terus menyekat penularan wabak ini secara bersepadu,” katanya lagi.

KKM juga katanya sentiasa menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan norma baharu dan terus mematuhi garis panduan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan rakyat sentiasa selamat dan terpelihara dari penularan wabak Covid-19.

Menurut Adham, kerajaan dan seluruh warga KKM akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk membendung wabak Covid-19 sehingga Sabah kembali menjadi zon hijau

2 Comments