[VIDEO] Sabah 503 kes, tiada keperluan pusat kuarantin di Pulau Omadal kata Masidi
19:11 Nov 02, 2020  |  By SabahKini2
[VIDEO] Sabah 503 kes, tiada keperluan pusat kuarantin di Pulau Omadal kata Masidi

Ikuti Sidang Media penuh Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Dan Menteri Kewangan II

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun memaklumkan jumlah kes positif baharu COVID-19 di Negeri Sabah pada hari ini adalah sebanyak 503 kes. Dua kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing di Sandakan dan Kota Kinabalu. Jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 16,195 kes.

Seramai 3,155 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 698 orang di hospital dan 2,457 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 76 orang manakala 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated)

Masidi berkata, sehingga hari ini, sebanyak 6,139 sampel ujian Covid-19 masih tertunggak di Sabah.

”Kesemua sampel itu masih menunggu untuk diproses, termasuk yang dihantar ke makmal swasta.

”Kapasiti makmal kini adalah di tahap maksimum. Ia lebih cepat sekarang, tetapi masih ada yang tertangguh. Kita harap pihak hospital akan dapat memprosesnya dalam masa beberapa hari ini,” katanya.

“Pada hari ini terdapat satu kluster baharu di Tawau iaitu Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang mencatatkan sebanyak 104 kes hasil saringan tahanan yang dibuat,” katanya.

Pusat Rawatan Kuarantin Pulau Omadal

Dalam satu soalan media mengenai usaha mewujudkan pusat rawatan atau kuarantin di Pulau Omadal, Semporna  Masidi memaklumkan tiada keperluan untuk tiada keperluan untuk itu.

”Buat masa ini, tiada keperluan untuk mewujudkan pusat kuarantin dan rawatan di Pulau Omadal, Semporna,” katanya pada sidang media yang dibuat menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Katanya, setakat ini 34 individu dari kawasan berkenaan disahkan dijangkiti Covid-19 dan dihantar untuk menerima rawatan dan menjalani kuarantin di Bubul Ria, Semporna.

”Sementara itu penduduk yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Semalam, Menteri Kanan (keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang mengenai keperluan untuk mewujudkan pusat kuarantin di pulau tersebut.

Ia susulan dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) enggan mengambil risiko mengurus pesakit Covid-19 yang tidak mempunyai dokumen, namun menetap di pulau berkenaan.

“Ini membabitkan individu tidak berdokumen dan ia bukan semata-mata tanggungjawab KKM.

“KKM akan ambil tindakan terhadap mereka yang didapati positif Covid-19 dengan mengadakan saringan. Tetapi apabila membabitkan warga asing tidak berdokumen, Jabatan Imigresen (JIM) perlu dilibatkan,” katanya.

Mengenai bantuan  bakul makanan untuk penduduk di Pulau Omadal juga telah disegerakan oleh kerajaan menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Semporna.

Perketat Keluar Masuk Institusi Kebajikan

Dalam pada itu Kerajaan Sabah juga memperketatkan urusan keluar masuk ke institusi kebajikan bagi mengelak penularan Covid-19 kepada golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Katanya, antaranya tidak membenarkan kemasukan baharu untuk kes permohonan dan lawatan ataupun kunjungan sosial ke institusi berkaitan.

“Selain itu, lawatan sosial ke institusi adalah tidak dibenarkan dan kakitangan bertugas di institusi kebajikan wajib melalui sanitasi harian di samping prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan sebelum dan selepas bertugas.

 

 

5 Comments