Ketua Menteri Sabah terima kasih RM5.1B pembangunan infrastruktur
16:11 Nov 06, 2020  |  By SabahKini2
Ketua Menteri Sabah terima kasih RM5.1B pembangunan infrastruktur

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata Belanjawan 2021 yang dibentangkan petang tadi memperuntukkan sebanyak RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur dan RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo dan pakej lain di Sabah.

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Sabah menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang memberi perhatian terhadap keperluan negeri itu dalam Belanjawan 2021.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata Belanjawan 2021 yang dibentangkan petang tadi memperuntukkan sebanyak RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur dan RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo dan pakej lain di Sabah.

"Ini membuktikan kepentingan dan keperluan Sabah adalah keutamaan kepada kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, antara yang diperuntukkan kepada Sabah ialah Pemberian Khas Tambahan RM1,000 untuk peniaga, kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong yang berdepan dengan kekurangan kedatangan pelancong akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, perkhidmatan bank mudah alih akan diperluas ke Sabah untuk memudahkan penyaluran bantuan kerajaan kepada penduduk luar bandar dan peruntukan RM41 juta untuk program Hak Adat Anak Negeri bagi memelihara hak asasi orang asal di Sabah.

Peruntukan untuk program pengagihan barang asas, gas petroleum cecair dan program Community Drumming yang akan diperluaskan ke 34 kawasan baru termasuk di Sabah juga meningkat kepada RM200 juta

Begitu juga peruntukan bernilai RM100 juta untuk pihak berkuasa pelaburan serantau termasuk Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Hajiji turut gembira apabila diumumkan bahawa subsidi padi bukit dihidupkan semula dengan peruntukan berjumlah RM40 juta.

"Ini akan memberi manfaat kepada hampir 10,000 pengusaha penanaman padi di Sabah yang mengusahakan sekitar 7,000 hektar ladang padi bukit.

"Saya juga berharap keselamatan Sabah terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dapat ditingkatkan dengan peruntukan RM16 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan RM17 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kita juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan bekerjasama dengan rakan Persekutuan lain untuk memastikan Belanjawan Nasional 2021 berjaya dilaksanakan," katanya.- HM

 

2 Comments