Beri Kerajaan Negeri Sabah urus peruntukan pembangunan RM5.1B
06:11 Nov 07, 2020  |  By SabahKini2
Beri Kerajaan Negeri Sabah urus peruntukan pembangunan RM5.1B

Kerajaan Persekutuan disaran menyerahkan (delegate) dan desentralisasi kepada Kerajaan Negeri segala urusan perancangan pembangunan, proses tender dan juga pemantauan projek.

Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak ADUN Usukan yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata perlunya hubungan baik dengan kerajaan persekutuan untuk Sabah terus bersaing dengan negeri lain.

Ia selari dengan konsep dan semangat persekutuan yang menyaksikan kerajaan negeri diberi kepercayaan untuk merealisasikan peruntukan yang bakal diberi.

Beliau berkata kerajaan persekutuan perlu menyerahkan dan desentralisasi kepada kerajaan negeri segala urusan perancangan pembangunan, proses tender dan juga pemantauan projek.

Ikuti artikel penuh beliau dalam blognya sallehsaid.com

Teguh Kita, Menang Bersama

1. Alhamdulillah, saya menyambut baik pembentangan Belanjawan 2021 siang tadi oleh Menteri Kewangan, YB Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat.

2. Dengan tiga matlamat induk, iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi, saya percaya Belanjawan 2021 telah diperincikan sebaiknya dengan fokus kepada rakyat dan ekonomi negara dalam menangani impak Covid-19, sepertimana yang disuarakan oleh rakyat dan juga ahli politik merentas parti dan fahaman.

3. Saya berpandangan dan sering menyuarakan bahawa negeri Sabah memerlukan Kerajaan negeri yang menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, kerana kita akan berupaya untuk berdaya saing dengan negeri-negeri lain. Jelas, negeri Sabah mendapat perhatian yang wajar dalam Belanjawan 2021.

4. Peruntukan berjumlah RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur Sabah, selain daripada RM3.8 bilion lagi untuk kesinambungan projek Lebuhraya Pan Borneo, adalah antara peruntukan untuk Sabah yang saya alu-alukan.

5. Begitu juga dengan Geran Khas Prihatin Tambahan berjumlah RM1,000 untuk peniaga, penjaja, pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan juga pemandu pelancong di Sabah. Kerajaan telah mendengar keluhan rakyat Sabah yang berhadapan dengan ancaman Covid-19 yang paling teruk setakat ini di Malaysia. Subsidi padi bukit yang diperkenalkan semula akan turut memanfaatkan lebih 10,000 pengusaha penanaman padi di Sabah.

6. Apa yang penting sekarang adalah untuk kita memastikan keberkesanan pelaksanaan peruntukan-peruntukan ini. YAB Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor telah memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan bekerjasama dengan rakan Persekutuan lain untuk memastikan ia berjaya dilaksanakan.

7. Pada pandangan saya, selari dengan konsep dan semangat Persekutuan, kepercayaan dan tanggungjawab harus diberi kepada Kerajaan Negeri Sabah sendiri untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan tersebut. Dengan kata lain, Kerajaan Persekutuan menyerahkan (delegate) dan desentralisasi kepada Kerajaan Negeri segala urusan perancangan pembangunan, proses tender dan juga pemantauan projek.

8. Kerajaan Negeri Sabah turut memikul tanggungjawab untuk memantau segala pelaksanaan dan keberkesanan projek untuk mengurangkan atau lebih baik, menghapuskan sebarang ketirisan.

9. Pembentangan hari ini adalah satu permulaan kepada langkah-langkah perlu untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan keteguhan ekonomi negara. Langkah kedua adalah memastikan setiap pihak bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan dan keberkesanan Belanjawan 2021. Dengan angka jangkitan baharu Covid-19 mencecah 1,755 kes hari ini, kerjasama ini tidak boleh ditangguh atau dipertikaikan lagi.

 

 

3 Comments