Bukan sahaja RM5.1B tetapi ada dana lain boleh dimanfaatkan Sabah- Bung Moktar
13:11 Nov 08, 2020  |  By SabahKini2
Bukan sahaja RM5.1B tetapi ada dana lain boleh dimanfaatkan Sabah- Bung Moktar

“Jumlah RM5.1 bilion adalah peruntukan khusus untuk Sabah tetapi, pada masa sama, ada dana lain untuk pembangunan luar bandar yang dapat dimanfaatkan oleh negeri ini.”

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin membidas bantahan pembangkang berhubung pengurangan peruntukan pembangunan kepada negeri itu dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam.

Bung yang juga menteri pembangunan infrastruktur Sabah mengingatkan, terdapat peruntukan lain yang boleh digunakan negeri itu selain RM5.1 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan di Sabah dalam Belanjawan 2021.

“Tak mengapalah RM5 bilion, kalau negeri diperuntukkan RM50 bilion sekali pun, mereka akan kata tak cukup juga kalau hati tak baik,” katanya

“Jumlah RM5.1 bilion adalah peruntukan khusus untuk Sabah tetapi, pada masa sama, ada dana lain untuk pembangunan luar bandar yang dapat dimanfaatkan oleh negeri ini.”

Walaupun ahli Parlimen Kinabatangan itu mengakui jumlahnya mungkin tidak menepati harapan beberapa pihak, ini adalah kenyataan dalam persekitaran kewangan yang mencabar dalam negara dan di seluruh dunia.

“Kita harus terima, yang penting rakyat akan mendapat faedah daripada belanjawan ini,” katanya.

Semalam, pemimpin pembangkang Sabah, termasuk ahli Parlimen Penampang dari Warisan Darell Leiking, membidas kerajaan persekutuan kerana mengurangkan peruntukan pembangunan untuk negeri itu.

Timbalan presiden Warisan itu berkata, kerajaan PH memberikan RM5.2 bilion dalam belanjawan tahun lalu, sambil menambah peruntukan berikutnya seharusnya lebih besar.

Bagaimanapun Darrel tidak memaklumkan bahawa Kerajaan Warisan PH cuba membatalkan projek Pan Borneo dan menangguhkan projek itu yang menyebabkan kemarahan rakyat Sabah.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Belanjawan 2021 bersifat menyeluruh kerana banyak lagi peruntukan lain diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021, termasuk RM3.8 bilion untuk kesinambungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.

Peruntukan itu untuk memulihkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo selain memulakan Pakej Serusop ke Pituru sepanjang 21 kilometer menghubungkan Tuaran dan Kota Belud yang sebelum ini menjadi ‘missing link.”

Tambahnya, JKR Sabah berharap bukan saja 11 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sudah diluluskan sebelum ini diteruskan, malah baki 24 pakej lagi dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang bermula tahun depan.

[ARTIKEL BERKAITAN- Peruntukan RM5.1 bilion beri manfaat menyeluruh - Bung Moktar ]

“Jadi, belanjawan ini layak mendapat sokongan kerana rakyat menunggu dan berharap supaya kerajaan melakukan yang terbaik untuk Sabah,” katanya.

 

5 Comments