RM4.79B MAFI: Pemerkasaan Sektor Pertanian dan Industri Makanan
16:11 Nov 09, 2020  |  By SabahKini2
RM4.79B MAFI: Pemerkasaan Sektor Pertanian dan Industri Makanan

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak sebanyak RM4.79 bilion bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Peruntukan ini termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.51b.

 
1. Saya mengalu-alukan Belanjawan 2021 yang tertinggi dalam sejarah negara dengan peruntukan berjumlah RM322.5 bilion. Ini adalah satu belanjawan komprehensif dan bersifat mengembang yang akan memulihkan dan merancakkan semula semua sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
 
2. Pada masa yang sama, Belanjawan 2021 yang dirangka juga merangkumi pelbagai bantuan dan inisiatif strategik serta bersasar yang pastinya akan membantu seluruh rakyat Malaysia sepanjang tempoh pemulihan ekonomi di semua sektor termasuk sektor pertanian dan industri makanan. Pada tahun 2019, sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 7.1 peratus. Sektor penting yang menyumbang kepada bekalan manakan negara ini adalah satu-satunya industri yang telah berkembang 1 peratus pada suku kedua tahun ini dan diunjurkan akan terus berkembang pada 4.7 peratus daripada KDNK tahun hadapan walaupun masih berdepan dengan cabaran-cabaran akibat wabak COVID-19 yang perlu ditangani bagi memastikan kelestarian bekalan makanan atau food security terus terjamin.
 
 
3. Bagi terus merancakkan sektor ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak sebanyak RM4.79 bilion bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Peruntukan ini termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.51 bilion. Secara keseluruhannya, peruntukan pembangunan yang diberikan juga adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan kepada pembangunan sektor agromakanan sebagai sektor ekonomi yang penting kepada negara. Peruntukan pembangunan tersebut akan dapat memenuhi keperluan Kementerian dalam melaksanakan perancangan dan projek bagi memperkasakan sektor agromakanan negara dan memastikan kebajikan para petani, penternak dan nelayan serta usahawan tani terus terpelihara.
 
4. Di bawah perbelanjaan mengurus, MAFI telah menerima RM1.72 bilion bagi pemberian subsidi, insentif dan bantuan untuk petani dan nelayan pada tahun 2021. Insentif dan bantuan yang akan diberikan juga antara lain akan meningkatkan daya saing pengeluaran padi dan beras menerusi peningkatan produktiviti, kualiti dan kecekapan selain meringankan beban mereka khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar masa ini. Jumlah subsidi dan insentif yang diterima pada tahun 2021 ini telah meningkat sebanyak RM50 juta berbanding tahun sebelumnya dengan subsidi baja padi bukit telah diperkenalkan semula dengan peruntukan sebanyak RM40 juta. Keseluruhan subsidi dan insentif yang diterima bagi sektor padi akan memanfaatkan 300,000 pesawah di seluruh negara.
 
 
5. Manakala, Elaun Sara Hidup Nelayan menerima pertambahan peruntukan sebanyak RM30 juta dengan peningkatan elaun daripada RM250 kepada RM300 sebulan bagi setiap nelayan. Pertambahan ini akan memanfaatkan 40,000 nelayan di mana Kerajaan telah mengembalikan elaun yang sebelum ini telah dipotong supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh para nelayan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
 
6. Selain itu, MAFI telah menerima peruntukan sebanyak RM410 juta bagi pelaksanaan beberapa inisiatif utama yang merangkumi Program Kebun Komuniti atau Kebuniti dengan peruntukan RM30 juta yang akan memanfaatkan 60,000 peserta, Projek Pertanian Organik dengan peruntukan RM50 juta yang akan memanfaatkan 1,000 komuniti, Program Ladang e-Satelit dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga maksimum RM30 ribu bagi setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang akan memanfaatkan 300 PPK dengan keahlian seramai hampir 1 juta petani dan peladang, Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan dan Program Pemodenan Rantaian Nilai Agromakanan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM150 juta dan RM60 juta di bawah Agrobank, Program Pengembangan Akuakultur dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga maksimum RM20 ribu dan Projek Pertanian dan Penternakan Berimpak dan Bernilai Tinggi dengan peruntukan RM100 juta dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memajukan lagi pembangunan sektor pertanian dan industri makanan.
 
7. Selain itu, Kerajaan juga telah mengumumkan Skim Pembiayaan Mikrokredit di bawah Agrobank yang akan memberikan lebih banyak peluang kepada PKS, gologan wanita dan muda yang ingin menceburi bidang agromakanan sebagai modal permulaan manakala bagi pengusaha sedia ada boleh menggunakan untuk memulakan semula perniagaan bagi menggantikan modal perniagaan yang terjejas sepanjang tempoh ini. Saya juga menyeru supaya lebih ramai menceburi bidang pertanian dan agromakanan terutama mereka yang kehilangan pekerjaan tetapi berminat dengan sektor ini.
 
8. Kementerian akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Belanjawan 2021 dengan efektif bagi memastikan sektor agromakanan dapat pulih dengan segera di setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta berkhasiat. Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri pastinya akan sentiasa melaksanakan semua program dan inisiatif kesejahteraan rakyat yang diumumkan dengan tepat dan efisien. Saya juga telah minta supaya semua agensi-agensi di bawah Kementerian ini termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar dan Agrobank supaya terus memainkan peranan dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan.
 
9. Secara umumnya, kesemua inisiatif-inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Belanjawan 2021 yang merupakan satu belanjawan mengembang atau expansionary adalah amat bertepatan dengan keadaan sekarang apatah lagi kesan wabak COVID-19 akan terus dirasai pada tahun hadapan. Belanjawan ini akan dapat membantu keseluruhan sektor ekonomi termasuk pengusaha agromakanan untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara serta KDNK negara.
 
DATUK SERI DR RONALD KIANDEE
YB MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN
7 NOVEMBER 2020
Comment