542,523 Ujian Saringan COVID-19 dibuat di Sabah- Hajiji
16:11 Nov 16, 2020  |  By SabahKini2
542,523 Ujian Saringan COVID-19 dibuat di Sabah- Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) di Sabah pula ialah 1.03 berbanding kurang 1.0 bagi seluruh negara setakat semalam.

KOTA KINABALU: Sebanyak 542,523 ujian saringan COVID-19 dibuat di Sabah sejak 1 Februari lalu, dengan 23,095 kes positif dikesan di seluruh negeri sehingga semalam.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) di Sabah pula ialah 1.03 berbanding kurang 1.0 bagi seluruh negara setakat semalam.

“Maksudnya seorang kes positif boleh menjangkiti seorang lagi individu lain atau kontak rapat,” katanya menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (WARISAN-Elopura) mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah.

Hajiji berkata, bagi bilangan sampel dalam makmal, setakat semalam, sebanyak 3,755 sampel masih dalam proses ujian.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan bilangan sampel dalam makmal.

“Sampel diproses di tiga makmal iaitu Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) dengan kapasiti 2,700 sampel sehari dan ‘outsourcing’ ke makmal swasta di Sabah,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan belum berhasrat untuk membina sebuah hospital tambahan bagi menampung pesakit COVID-19.

“Pada masa ini ada 11 hospital kerajaan menjadi hospital rawatan COVID-19 untuk merawat kes COVID-19 tahap tiga hingga lima.

“Hospital terbabit ialah HQE, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Keningau, Hospital Kota Marudu, Hospital Kudat, Hospital Semporna, Hospital Queen Elizabeth II dan Hospital Tambunan.

“Bagi menangani kes COVID-19 tahap satu dan dua, sebanyak 35 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID (PKRC) sudah dibuka,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pejabat Kesihatan Kawasan atau Daerah, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan PKOB Negeri Sabah sudah mengenal pasti dewan atau tempat yang sesuai untuk dijadikan sebagai PKRC.

Katanya, Hospital Medan di Tawau yang dibina dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut membantu memenuhi keperluan rawatan pesakit di negeri ini. -BH

Comment