Isytihar darurat langkah tepat kekang penularan COVID-19- Masidi
16:11 Nov 18, 2020  |  By SabahKini2
Isytihar darurat langkah tepat kekang penularan COVID-19- Masidi

Jurucakap COVID-19 kerajaan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ramai bimbang penularan COVID-19 di Sabah mungkin bertambah buruk jika Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Parlimen itu diteruskan.

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah menyifatkan pengisytiharan darurat terhadap Parlimen Batu Sapi sebagai langkah tepat bagi mengekang penularan COVID-19 di kawasan itu.

Jurucakap COVID-19 kerajaan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ramai bimbang penularan COVID-19 di Sabah mungkin bertambah buruk jika Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Parlimen itu diteruskan.

Sehubungan itu, katanya, proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan PRK yang dijadualkan pada 5 Disember ini ditangguhkan sangat melegakan.

 
"Darurat lebih kepada untuk menangguhkan PRK di Parlimen Batu Sapi kerana hanya pengisytiharan darurat dapat menghentikan PRK. Perlembagaan sudah menetapkan PRK perlu diadakan walau apa alasan kecuali berlaku darurat.

"Oleh demikian, PRK boleh ditangguh sehingga keadaan benar-benar selamat daripada ancaman COVID-19.

"Sehubungan itu, kita amat menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan baginda untuk mengelak peningkatan kes positif COVID-19 di Batu Sapi," katanya pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu wajar dijadikan pengajaran dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negeri ini.

Sementara itu, diminta mengulas sama ada tindakan sama perlu diambil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Masidi berkata sekarang belum masa yang sesuai untuk membincangkannya.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Manis Muka Mohd Dara baru meninggal dunia semalam, jadi sekarang bukan masa yang sesuai membincangkan PRK di sana.

"Saya mewakili kerajaan negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Saya kenal beliau dan keluarganya, malah suaminya adalah kawan satu sekolah saya dulu.

"Biarlah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tentukan (PRK). Secara peribadi, saya berpandangan sekarang bukan masa berpolitik, ia boleh ditunggu kerana yang lebih utama ialah untuk menangani COVID-19.

"Tidak kira dari parti mana, kita sama-sama memerangi virus ini sebab kita sekarang berdepan situasi yang getir. Walaupun ada penurunan kes positif COVID-19 di Sabah tetapi situasinya masih membimbangkan," katanya.

Manis Muka yang memenangi kerusi DUN Bugaya atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 26 September lalu meninggal dunia di Hospital Gleneagle Kota Kinabalu disebabkan masalah buah pinggang, semalam.

DISYORKAN BACA: Tangguh PRK Batu Sapi: Darurat ‘Wilayah’, Pandemik atau Warisan tarik diri beri parti kerajaan!

1 Comment