660 kes baharu, 419 pesakit COVID-19 di Sabah sembuh hari ini - Masidi
15:11 Nov 19, 2020  |  By SabahKini2
660 kes  baharu, 419 pesakit COVID-19 di Sabah sembuh hari ini - Masidi

Laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, seramai 2,202 pesakit COVID-19 sedang menerima rawatan, masing-masing 646 di hospital dan 1,556 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di seluruh negeri.

KOTA KINABALU- Seramai 419 pesakit COVID-19 di Sabah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata berdasarkan laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, seramai 2,202 pesakit COVID-19 sedang menerima rawatan, masing-masing 646 di hospital dan 1,556 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di seluruh negeri.

“Bilangan pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi ialah 74 orang dan 15 individu memerlukan alat bantuan pernafasan,” kata Masidi yang merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan wabak itu di Sabah, beliau berkata Sandakan mencatat kes tertinggi dengan 316 daripada 660 kes positif baharu COVID-19 yang dilapor hari ini, menerusi enam kluster direkodkan di daerah berkenaan.

Ini diikuti Lahad Datu dengan 105 kes; Kota Kinabalu (95 kes); Tawau (45 kes); Penampang (37 kes); dan Tuaran (20 kes), katanya sambil menambah jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Sabah ialah 24,929 kes.

Mengenai pengisytiharan darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi, Masidi berkata langkah itu bertujuan membatalkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, yang dijadual berlangsung pada 5 Dis ini, demi melindungi nyawa rakyat di kawasan tersebut susulan penularan wabak COVID-19.

Katanya, kehidupan rakyat Batu Sapi tidak akan terjejas susulan pengisytiharan darurat itu, selain pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial penduduk masih boleh diteruskan tertakluk kepada amalan kebiasaan baharu serta peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa.

Masidi berkata terdapat lima faktor utama PRK Batu Sapi ditangguhkan iaitu ancaman terhadap kesihatan awam; kekangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan petugas; pergerakan rentas daerah; kebimbangan risiko jangkitan; serta kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya itu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu. 

Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara berkenaan.

Rentetan daripada itu, SPR akan menetapkan satu tarikh lain untuk mengadakan PRK Batu Sapi. 

Sebelum ini, SPR menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 Nov manakala hari pengundian awal pada 1 Dis. PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt lepas akibat jangkitan paru-paru.-- BERNAMA

Comment