Ujian COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah- Dr Adham
16:11 Nov 24, 2020  |  By SabahKini2
Ujian COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah- Dr Adham

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, bagaimanapun jika didapati negatif, pengembara itu tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.

PUTRAJAYA: Pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani swab ujian pengesanan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain bermula 25 November ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, bagaimanapun jika didapati negatif, pengembara itu tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.

"Sekiranya mereka ini positif ujian pengesanan COVID-19 atau sekiranya bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah. Bagi yang positif COVID-19, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan. Manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.

"Seterusnya bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan COVID-19 dan diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Ujar Dr Adham, keputusan itu diambil selepas mendapat persetujuan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 23 November lalu.

Ia susulan semakan semula prosedur saringan kesihatan bagi pengembara dari Sabah mendapati jumlah penurunan kes positif COVID-19 direkodkan.

"Merujuk kepada laporan mingguan kes positif COVID-19 jelasnya, peningkatan kes dicatatkan di Lembah Kelang sebanyak 3041 kes bersamaan 270 peratus peningkatan berbanding 3073 kes di Sabah bersamaan penurunan 32.4 peratus," katanya lagi.


Infografik Jawatankuasa Bencana Covid-19 Negeri Sabah: Kes Sabah semakin menurun

Bermula 27 September lalu, KKM telah meminta semua pengembara yang tiba dari Sabah menjalani saringan gejala, ujian pengesanan Covid-19 serta menggunakan aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 27 September lalu.

Prosedur saringan ini dilaksanakan sebagai satu aktiviti survelan bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah melawat negeri Sabah.

Tindakan itu susulan daripada peningkatan kes Covid-19 yang ketara di kebanyakan daerah di negeri tersebut, selain peningkatan kes positif Covid-19 di negeri-negeri lain di Malaysia yang berkait dengan sejarah melawat Sabah.

Kerajaan Negeri Sabah umum langkah sama

Sementara itu dalam sidang media Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga jurucakap Jawatankuasa Bencana COVID-19 Negeri turun mengumumkan perkara sama sebagaimana Dr Adham Baba Menteri Kesihatan bahawa  individu atau pengembara dari Sabah yang ingin keluar ke negeri lain hanya perlu menjalani ujian swab pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah.

Sekiranya individu itu didapati positif ujian Covid-19 atau bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.

“Untuk pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka masih perlu melalui saringan demam dan gejala. katanya.

Kelonggaran

Kelonggaran kepada pengembara bukan baharu, Jun lalu selepas kes COVID-19 reda Kerajaan Negeri Sabah pernah melonggarkan arahan kuarantin wajib selama dua minggu yang ditarik balik, namun setiap individu perlu menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum masuk ke Sabah terlebih dahulu dan disahkan negatif.

 

1 Comment