'Cukai Durian Runtuh' Syed Saddiq memeras sektor swasta, pelabur lari dari Malaysia
23:11 Nov 26, 2020  |  By SabahKini2
'Cukai Durian Runtuh'  Syed Saddiq memeras sektor swasta, pelabur lari dari Malaysia

Tidak cukup dengan pelbagai cukai di negara ini, cadangan 'Cukai Durian Runtuh' ala Syed Saddiq satu lagi cara memeras sektor swasta. Ia menggambarkan kepada pelabur luar, Malaysia menghalang 'dinamisme sektor swasta”.

Pelbagai pihak terutama masyarakat industri membidas cadangan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu kerajaan memperkenalkan “Windfall Tax” atau Cukai Durian Runtuh kepada syarikat kaya dan besar. Masyarakat antarabangsa atau negara luar terkejut dengan idea sarkas ini.

Saddiq mencadangkan cukai itu dikenakan kepada syarikat pembuat sarung tangan getah di Malaysia yang menikmati keuntungan berkali ganda ketika musim Covid-19. 

“Cukai Durian Runtuh adalah sejenis cukai yang kerajaan kenakan kepada syarikat yang menikmati keuntungan besar dari satu-satu insiden atau peristiwa.

“Dalam konteks Covid-19, syarikat yang benar-benar mengaut keuntungan besar adalah syarikat sarung tangan atau ‘glove makers’. Ada 4 syarikat utama seperti Top Glove, Hartalega Holding, Supermax Corporation dan Kossan Rubber Industries,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat

Maksud Syed Saddiq sejak Mac hingga November syarikat sarung tangan untung lebih maka mari kita 'pau' mereka. 

Syed Saddiq menggunakan alasan keuntungan syarikat-syarikat itu bagi mengenakan cukai “Windfall Tax” cadangannya. Top Glove (RM1.9 bilion), Hartalega Holding (RM545 juta), Supermax Corporation (RM789.5 juta) dan Kossan Rubber Industries (RM348.74). Saham 4 syarikat itu juga katanya meningkat 441% ketika pandemik Covid-19.

Bagi Syed Saddig sumbangan RM400 juta syarikat sarung tangan kepada kerajaan  sangat tidak mencukupi dan mereka perlu dicukai lagi sekalipun syarikat-syarikat ini sudah membayar dalam bentuk cukai lain.

 

“Windfall Tax” populis- rintangan syarikat getah

Di atas kertas congakan ahli parlimen muar yang bukan ahli ekonomi itu nampak cantik tetapi secara realiti ia membunuh “dinamisme sektor swasta”. Pendapat populisnya hanya membuktikan tidak semua MP berfikir dengan waras dalam bab ekonomi atau bukan bidangnya.

Cukai syarikat di Malaysia sedia ada pun tinggi iaitu 26 peratus berbanding Singapura 17% dan negara ASEAN lain sekitar 20%. Ia memberi persepsi buruk kepada pelabur tentang cukai di negara kita yang mungkin menyebabkan pelabur lari atau tidak mahu masuk ke Malaysia. Lebih baik memindahkan operasi di Singapura atau ke negara ASEAN lain.

Hakikat sebenar syarikat getah juga mengalami hari-hari tidak baik sebelum perniagaan mereka meningkat semasa pandemik itu. Mereka juga berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk rantaian dalam industri getah.

Sejak April lalu Top Glove mengakui memang permintaan terhadap sarung tangan dan kondom melambung tinggi susulan penularan COVID-19 tetapi kenaikan itu tidak menyokong harga getah yang kekal pada paras rendah. Kandungan penggunaan getah dalam pembuatan kedua-dua produk berkenaan adalah pada kadar rendah.

Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai sendiri mengakui permintaan untuk sarung tangan getah sememangnya sangat kukuh susulan tempahan berkali ganda berikutan penularan pandemik COVID-19.

Namun, beliau berkata, dari segi harga getah ia kekal rendah kerana permintaan rendah untuk sektor lain seperti tayar yang mewakili lebih 60 peratus penggunaan getah. Permintaan untuk tayar rendah berikutan pertumbuhan perlahan dalam aktiviti perniagaan atau pengeluaran susulan penularan COVID-19.

“Bagi pengeluaran sarung tangan getah dan kondom, ia hanya menggunakan kurang daripada 15 peratus output getah dunia,” katanya 

Kejatuhan harga getah  secara umumnya berpunca daripada penurunan permintaan getah dunia memandangkan harga getah di negara ini ditentukan harga pasaran dunia. Pasaran komoditi termasuk getah asli merosot ketara sepanjang tempoh pandemik  berikutan beberapa faktor penting luaran dan dalaman seperti penurunan permintaan getah asli dunia, jangkaan kemelesetan ekonomi dunia dan penularan wabak COVID-19 menyebabkan permintaan perlahan dari negara pengguna utama getah asli seperti China, Amerika Syarikat (AS), Iran dan negara di Eropah.

Demi meneruskan rantaian industri getah di peringkat pengeluar bahan mentah, di Malaysia kerajaan terpaksa menyediakan Peruntukan  Intensif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak RM 300 juta dalam Belanjawan 2021. IPG ialah Bayaran bantuan ‘top-up‘ harga getah sehingga cukup RM2.50 jika harga jatuh bawah dari RM2.50 atau RM6.10 sekilogram getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, sebanyak RM149 juta telah dibelanjakan untuk membiayai tuntutan IPG itu. Bekalan bahan mentah bermakna produk seperti sarung tangan dan kondom akan berterusan.

Terpaksa mengimport 

Industri getah Malaysia kini terpaksa banyak bergantung kepada negara asing terutamanya Thailand. Pengeluaran dalam negara sebanyak 673,513 MT setahun sebenarnya tidak mencukupi menyebabkan Malaysia menjadi pengimport getah asli ketiga terbesar di dunia pada jumlah 930,333 MT setahun selepas China dan USA sedangkan kita adalah negara pengeksport produk getah ke-4 terbesar di dunia dengan jumlah eksport 1.017 juta MT setahun. Bukankah ini paradok?

Di mana syarikat getah mendapat bahan mentah? mengimport bermakna pertambahan kos.

Memeras sektor swasta

Penasihat di Institut Strategik Kingsley Prof Dr Hoo Ke Ping berkata dijangka jika vaksin Covid-19 bakal dihasilkan, syarikat getah akan melihat keuntungan mereka menyusut tidak lama lagi.

Syarikat getah menyumbang sebanyak RM400 juta kepada kerajaan. Oleh itu memeras sektor swasta bermakna mereka tidak akan dapat mempelbagaikan perniagaan mereka. Pelabur luar juga akan melihat 'drama' kerajaan cuba membuli syarikat besar di negara ini.

Harga saham Supermax dan Top Glove sepatutnya waktu puncak mereka mencecah hampir RM30 sesaham, tetapi kini ia jatuh ke bawah RM10 sesaham. Apatah lagi sekarang 28 kilang Top Glove terpaksa ditutup kerana jangkitan Covid-19 menyumbang kepada catatan kes harian tertinggi Selangor dan negara. Nilai saham Top Glove terus susut 55 sen atau 7.5 peratus.  

Tidak hairan jika Top Glove perlu membeli sendiri beberapa ratus juta saham untuk menyokong harga itu dan mengelakkannya daripada terus turun.

Menghukum Syarikat

Kerajaan tidak seharusnya menghukum syarikat swasta atas kejayaan mereka. Mengubah peraturan secara tiba-tiba hanya kerana syarikat besar untung ketika pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Cukai durian runtuh hanya akan mengehadkan rancangan perkembangan sektor swasta dengan keuntungan yang mereka perolehi. Sepatutnya ia digunakan untuk mempelbagaikan perniagaan mereka atau melindungi diri sekiranya perniagaan jatuh terjunam dan lebih banyak membuka peluang pekerjaan tetapi sebaliknya terbantut. 

Mengapa Syed Saddiq menunjuk pandai dengan cadangan “Windfall Tax” yang sangat mengarut ini. Jika benar mahu mengejar durian runtuh apa bezanya syarikat Pengurusan Judi dan Lotteri seperti  Berjaya Group milik Tan Sri Dato' Seri Vincent konglomerat punya keuntungan tahunan lebih dari RM2.93 bilion itu. Tan Sri Dato' Seri Vincent sendiri pernah menaja Armada Bersatu ketika beliau sebagai Ketua Armada. Tak mungkin Berjaya Group rugi? 



Sepatutnya Syed Saddiq sepatutnya bertanya bagaimana dengan kes SPRMnya? Agaknya SPRM tidur lagi. Kes Syed Saddiq terus senyap!

 

 

3 Comments