Projek JENDELA tingkat capaian internet di Sabah elak 'tragedi' panjat pokok di Pitas, jatuh jambatan di Ranau
11:12 Dec 03, 2020  |  By SabahKini2
Projek JENDELA tingkat capaian internet di Sabah elak 'tragedi' panjat pokok di Pitas, jatuh jambatan di Ranau

Sampai bila rakyat Sabah menanti talian telefon dan internet di daerahnya. Banyak peristiwa tular memalukan, malang dan menganggu pembelajaran anak-anak ketika pandemik Covid-19. Tiada talian telefon dan internet menunjukkan betapa mundurnya rakyat Sabah

Selepas begitu banyak tragedi tular rakyat Sabah susah mendapatkan talian internet di Sabah seperti panjat pokok, jatuh jambatan memandu 10km bantu kerja anak sekolah, pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah terganggu dan banyak lagi berkaitan sukarnya akses internet.

Jendela jawapannya?

Kini kerajaan Negeri akan memastikan projek pembangunan di bawah Jaringan Digital Nasional (Jendela), satu usaha untuk memperluas liputan 4G dan meningkatkan kelajuan internet di Sabah, dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia kerana pada masa ini, liputan telekomunikasi digital di Sabah dilihat ketinggalan dengan beberapa kawasan masih dalam keadaan 'gelap' tanpa penerimaan internet.

“Sebahagian seperti di Pitas terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan liputan internet dan ada juga kes di Kampung Gusi, Ranau yang mana beberapa pelajar cedera apabila jambatan (gantung) terputus ketika mereka berkumpul untuk mendapatkan liputan internet.

"Oleh itu, Jendela adalah inisiatif yang sangat baik oleh Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana Sabah amat memerlukan liputan telekomunikasi yang lebih baik," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hajiji berkata demikian selepas memdengar taklimat oleh Pengerusi SKMM, Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek menerusi sidang video mengenai program Jendela di Pusat Pentadbiran Negeri (PPNS).

Projek RM2.5 bilion

Hajiji turut dimaklumkan bahawa Jendela akan dilaksanakan dalam dua fasa yang membabitkan pembinaan 41 menara telekomunikasi baharu, menaik taraf 924 stesyen pangkalan yang ada menerusi program Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) kepada 4G.


Ketua Menteri DSP Hajiji Mohd Noor dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah
Datuk Yakub Khan berbincang mengenai JENDELA

Sementara itu sebanyak 35 menara baharu dan 1,048 stesyen pangkalan di menara sedia ada juga akan ditingkatkan secara komersial oleh penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan liputan 4G di negeri ini.

Sebanyak 190,115 premis di negeri ini juga akan diberi akses ke gentian optik. Kesemua projek ini dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Sementara itu, Hajiji turut meminta SKMM agar berhubung terus dengan pejabat Ketua Menteri sekiranya mereka menghadapi masalah yang mengganggu proses pelaksanaan program itu.

Program Jendela yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada 29 Ogos lalu, adalah rancangan pembangunan infrastruktur digital selama lima tahun yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025), yang bertujuan memenuhi keperluan penyambungan digital dan mempersiapkan negara untuk peralihan secara beransur-ansur ke teknologi 5G.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan dan Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Izani Othman.

Janji Menteri

5 September lalu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan sebanyak 382 menara telekomunikasi baharu akan dibina di seluruh Sabah bagi meningkatkan kemudahan jalur lebar dan perkhidmatan 4G

924 alat pemancar di menara komunikasi sedia ada di negeri itu akan dinaik taraf manakala 251,166 premis akan disediakan capaian gentian optik untuk memberikan liputan yang lebih meluas.

Pengumuman Celcom

Semalam Celcom Axiata Bhd (Celcom) mengumumkan memperuntukkan pelaburan kira-kira RM256 juta untuk menaik taraf kapasiti rangkaian dan membina lebih banyak menara komunikasi 4G di seluruh negara.

Syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan berkata, pelaburan terbabit akan meningkatkan liputan dan kualiti 4G di kawasan pedalaman serta bandar.

"Pelaburan rangkaian yang dipacu oleh Celcom daripada 2020 akan disokong dengan modal pelaburan yang diperuntukkan pada tahun kewangan 2021," kata Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Idham Nawawi

Peranan Warisan Harta

Warisan Harta melalui anak syarikatnya Common Tower Technologies Sdn. Bhd (CTTSB) yang memiliki 257 menara telekomunikasi di negeri ini salah satu operator terbesar dalam industri telekomunikasi negara mungkin perlu melakukan sesuatu. Jangan jadi pemimpin Warisan mereka jadi Pengerusi Warisan Harta pun tak berbuat apa-apa.

Diharap Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak Pengerusi Warisan Harta dan Ghazali Ansing Pengerusi Common Tower Technologies Sdn. Bhd (CTTSB) mengambil peranan memanfatkan projek pembangunan di bawah Jaringan Digital Nasional (Jendela). Selagi boleh naik taraf teruskan naik taraf. Jangan kita biarkan rakyat memanjat pokok dan jatuh jambatan lagi. 

 

[BACA BERKAITAN- Veveonah, Pitas termiskin dan gagalnya Kerajaan Warisan di Sabah ]

 

 

Comment