Ekonomi Malaysia parah, drama politik lemahkan negara - Tok Mat
22:12 Dec 06, 2020  |  By SabahKini2
Ekonomi Malaysia parah, drama politik lemahkan negara - Tok Mat

Negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian yang penting. Singapura pula memecut laju meninggalkan Malaysia

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, Malaysia memerlukan kerajaan stabil, Kabinet progresif dan dasar ekonomi berevolusi, bukannya menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk ekonomi “terencat”.

Katanya, pelbagai drama politik membawa ekonomi Malaysia yang suram ke tahap paling parah dalam sejarah negara.

“Tiga minggu dari sekarang, akan menyinsinglah fajar 2021. Kita akan mengakhiri 2020 dengan tiada pencapaian penting, apatah lagi lonjakan baru untuk kemajuan dan kebolehsaingan.

“Negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian yang penting. Singapura pula memecut laju meninggalkan Malaysia jauh ke belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia perlu meraikan ketibaan 2021 dengan memulakan pemulihan melalui agenda ekonomi berani, mantap dan inklusif, selepas membuang banyak masa serta peluang pada tahun ini.

“Agenda reset ekonomi mesti segera beralih kepada pertumbuhan berganda, pelaburan bermutu dalam sektor teknologi dan inovatif serta membuka pasaran dengan lebih agresif.

“Semoga semua ini akan segera berubah kerana Malaysia sebelum ini jauh lebih dinamik. Kita mesti segera menjadi yang terbaik semula di Asia Tenggara tanpa berlengah.”-FMT

Comment