Digi, Maxis antara 5 syarikat telekomunikasi dikompaun
10:12 Dec 09, 2020  |  By SabahKini2
Digi, Maxis antara 5 syarikat telekomunikasi dikompaun

Digi Telecommunications Sdn Bhd menerima kompaun tertinggi dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM750,000 kepada lima syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad sim prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

Tindakan ini diambil berdasarkan kepada audit yang dijalankan di Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi tempoh antara Ogos hingga Oktober tahun lalu.

SKMM berkata, sepanjang tahun ini 70 kompaun bernilai RM3.45juta dikeluarkan, iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun lalu.

"Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan yang sama menyebut Digi Telecommunications Sdn Bhd menerima kompaun tertinggi dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

"U Mobile Sdn Bhd menerima tiga kompaun bernilai RM150,000 manakala, Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing dua kompaun bernilai RM100,000 dan satu kompaun bernilai RM50,000.

"Tindakan yang diambil ini menunjukkan usaha tegas yang berterusan oleh pihak kami dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes penipuan atau scam secara dalam talian yang semakin meningkat," katanya.

5 Comments