Sabah komited banteras rasuah untuk wujud perkhidmatan awam berintegriti - Hajiji
16:12 Dec 10, 2020  |  By SabahKini2
Sabah komited banteras rasuah untuk wujud perkhidmatan awam berintegriti - Hajiji

beliau berkata sebagai Ketua Menteri, beliau amat menekankan agar sistem dan prosedur semua agensi perkhidmatan awam negeri dikaji supaya tiada ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan pada masa hadapan.

KOTA KINABALU, 9 Dis- Kerajaan Sabah baharu yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sangat komited membanteras gejala rasuah bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti, kata Datuk Hajiji Noor.

Sehubungan itu, beliau berkata sebagai Ketua Menteri, beliau amat menekankan agar sistem dan prosedur semua agensi perkhidmatan awam negeri dikaji supaya tiada ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan pada masa hadapan.

“Kesan rasuah ini amat dahsyat sekali hingga membawa kepada keruntuhan negara seperti mana sejarah terdahulu memperlihatkan tamadun hebat telah lenyap akibat rasuah.

“Oleh itu, bagi memastikan negeri ini terus maju dan sejahtera, adalah menjadi tanggungjawab saya selaku pemimpin kerajaan dan seluruh masyarakat di Sabah untuk berganding bahu, bersama-sama dalam membanteras gejala rasuah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Khas Sempena Hari Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah 2020, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah S. Karunanithy.

Hajiji berkata kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 oleh SPRM menunjukkan rakyat atau masyarakat di Sabah telah menzahirkan 93.3 peratus sokongan dan 83.4 peratus keyakinan ke atas usaha pencegahan rasuah di negeri ini.

“Peratusan yang tinggi ini memperlihatkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini. Berdasarkan kajian juga, menunjukkan Sabah antara yang terbaik dalam kesungguhan membanteras rasuah.

“Secara keseluruhan, berdasarkan kajian yang sama di peringkat nasional menunjukkan bahawa rakyat negara ini menzahirkan 86.9 peratus (sokongan) dan 75.7 peratus (keyakinan) ke atas usaha pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.

Justeru, selaku Ketua Pentadbiran di Sabah, beliau menyarankan agensi negeri mahupun Persekutuan supaya terus memperbanyakkan lagi kempen pemantapan integriti dalam kalangan rakyat Sabah, memandangkan isu kemerosotan integriti adalah persoalan pokok yang mendorong seseorang itu untuk melakukan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Walaupun begitu, kempen penyebarluasan mesej antirasuah turut digemblengkan oleh badan-badan bukan kerajaan, khususnya kepada golongan belia yang mengikut kajian SPRM baru-baru ini menunjukkan daripada keseluruhan responden yang dikaji sebanyak 55 peratus adalah golongan belia yang terbabit dalam gejala rasuah di negara ini,” katanya.-- BERNAMA

1 Comment