Saringan besar-besaran di PTS Menggatal, Kes positif Covid-19 dijangka meningkat di Sabah
06:12 Dec 11, 2020  |  By SabahKini2
Saringan besar-besaran di PTS Menggatal, Kes positif Covid-19 dijangka meningkat di Sabah

Saringan besar-besaran PTS Menggatal KK. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan saringan itu dijadualkan bakal diketahui hari ini

KOTA KINABALU: Sabah dijangka mencatat peningkatan kes positif Covid-19 ini berikutan saringan besar-besaran di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal di sini, yang dibuat semalam 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan saringan itu dijadualkan bakal diketahui hari ini

“Sebab itu kita menjangkakan jumlah kes baharu di Kota Kinabalu akan meningkat,” katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa Covid-19 Sabah

Saringan di PTS Manggatal membabitkan warga asing yang ditahan di pusat berkenaan.

PTS itu sebelum ini mencatat kes positif yang tinggi hingga mencetuskan Kluster Rumah Merah.

10 Disember Sabah mencatatkan sebanyak 274 kes positif Covid-19 dengan dua kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga kini sebanyak 31,534.

Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan 66 kes, diikuti Lahad Datu (66), Sandakan (38) dan Tawau (34), manakala Tuaran dan Penampang masing-masing mencatat 19 kes.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, daripada 274 kes positif terbabit, sebanyak 116 kes atau 42.3 peratus adalah berpunca daripada saringan kontak rapat di 14 daerah.

“Sebanyak 100 kes atau 36.5 peratus adalah daripada saringan kluster sedia ada, manakala saringan bergejala mencatat 36 kes atau 13.1 peratus, diikuti saringan komuniti sebanyak 12 kes atau 4.9 peratus dan 10 kes atau 3.6 peratus lagi adalah dari lain-lain kategori,” katanya.

Bagi kes sembuh, katanya, seramai 265 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital  menjadikan jumlah kumulatif sembuh sehingga kini sebanyak 28,690 orang.

Comment