PKPB Sabah: Penyampaian perkhidmatan awam tidak terjejas.
20:12 Dec 11, 2020  |  By SabahKini2
PKPB Sabah: Penyampaian perkhidmatan awam tidak terjejas.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Noor, berkata sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di kawasan ibu negeri, hanya 30 peratus daripada jumlah maksimum pegawai awam Persekutuan dibenarkan hadir di pejabat

KOTA KINABALU:   Meski berdepan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19, penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini tidak terjejas.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Noor, berkata sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di kawasan ibu negeri, hanya 30 peratus daripada jumlah maksimum pegawai awam Persekutuan dibenarkan hadir di pejabat. 

"Arahan ini adalah berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Adib Abd Rahman dan berkuat kuasa mulai 22 Oktober lalu.

"Malah, di Sabah ini bila sebut tentang penjawat awam memang tiada beza di antara penjawat Persekutuan dan negeri.

"Perkhidmatan kita tidak terjejas kerana kita sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan khususnya dari segi memastikan bahawa pegawai yang datang ke pejabat itu adalah pegawai yang benar-benar harus datang ke pejabat," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan jumlah peratusan kehadiran penjawat awam ditingkatkan memandangkan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dilonggarkan, Samsuni menjelaskan, ia bergantung kepada keperluan jabatan masing-masing.  

"Sekiranya ada keperluan mendesak dan kita harus datang ke pejabat melebihi 30 peratus supaya tidak menjejaskan perkhidmatan kita kepada pelanggan, itu adalah dibenarkan.

"Yang penting tidak menjejaskan sebarang penyampaian perkhidmatan dengan amalan norma baharu dan SOP perlulah dipatuhi dan itu yang kita pantau dari semasa ke semasa," ujarnya.

Tambah beliau, keyakinan itu juga berlandaskan kadar pematuhan SOP di Sabah yang kini mencapai 98 peratus sekaligus menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Beliau yang diiringi timbalannya, Dr. Muharrir Kamaruddin ditemui media selepas mengadakan kunjungan perpisahan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah pada Khamis.

Menurut Samsuni, kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan Hajiji mengenai persaraan wajibnya yang akan bermula pada 20 Februari depan.- UB

1 Comment