Skandal Maritim: SUB MOT, TKP Jabatan Laut, 3 pengarah syarikat ditahan SPRM
04:12 Dec 12, 2020  |  By SabahKini2
Skandal Maritim: SUB MOT, TKP Jabatan Laut, 3 pengarah syarikat ditahan SPRM

SUB dan TKP menyalahgunakan kedudukan dan kuasa dengan mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat kapal bagi larangan 'Single Hull, Double Bottom' tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan.

KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Malaysia Kapten  Mohamad Halim Ahmad, dan seorang Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (Perancangan) Dato’ Hazman Hussien direman selama lima hari bagi membantu siasatan berkaitan skandal rasuah minyak gred berat di perairan negara.

Turut direman adalah tiga pengarah syarikat perkapalan termasuk seorang yang bergelar 'Datuk Seri'.

Kelima-lima suspek berusia antara 35 hingga 54 tahun itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, malam tadi.

Difahamkan, minyak gred berat adalah sejenis minyak likat yang tidak mudah mengalir mengikut keadaan takungan biasa. Umumnya ia digunakan sebagai bahan api pengangkutan laut, namun jika tumpah atau berlaku kebocoran ia boleh mengakibatkan pencemaran laut.

Sumber berkata, semua mereka disyaki terbabit dalam skandal berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat yang bertanggungjawab membawa minyak gred berat terbabit di perairan Malaysia tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan.

Siasatan mendapati kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu juga dikatakan menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mereka dengan mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat tertentu tanpa pengetahuan dan kelulusan Menteri Pengangkutan.

Perbuatan itu juga dilakukan tanpa pengetahuan Ketua Pengarah Jabatan Laut Dato' Hj. Baharin Bin Dato' Abdul Hamid berkenaan yang sebelum ini mengeluarkan surat arahan larangan penggunaan jenis kapal 'Single Hull, Double Bottom' (struktur kapal) dalam mengangkut minyak gred berat di perairan Malaysia.


Struktur kapal 'Single Hull, Double Bottom' 

"Terdapat banyak rungutan dan aduan yang diterima daripada pengusaha-pengusaha kapal lain yang sudah menukar kepada Double Hull, Double Bottom.

"Ini selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mengelakkan kebocoran dan pencemaran laut akibat kesan tumpahan minyak oleh kapal jenis berkenaan.

"Namun masih ada syarikat yang menggunakan Single Hull, Double Bottom yang sudah dilarang oleh kementerian," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan itu

Kelima-lima suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

 

9 Comments