Warisan ke Semenanjung mudahkan Dr Mahathir sertai Warisan?
15:12 Dec 13, 2020  |  By SabahKini2
Warisan ke Semenanjung mudahkan Dr Mahathir sertai Warisan?

Selain 'takut' Dr Mahathir, Shafie dan Warisan juga sejak Julai lalu berusaha membawa masuk Dr Mahathir dalam Warisan. Nampaknya impian itu makin hampir apabila Warisan akan berlabuh di Semenanjung.

KUALA LUMPUR – Rancangan membawa masuk Dr Mahathir ke dalam Warisan tidak pernah berhenti.

Pada 19 Julai lalu Parti Warisan Sabah ketika Datuk Liew Vui Keong sebagai Menteri Undang-undang JPM sudah pernah mempertimbangkan mengubah perlembagaan parti bagi memberi ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai parti Warisan. Bagaimanapun rancangan itu ditentang oleh ahli kerana dianggap ia bakal me’malayakan’ Warisan.

[ARTIKEL BERKAITAN- Lebih pro Malaya: Warisan sanggup pinda perlembagaan demi Dr Mahathir sertai Warisan ]

 

Sabtu lalu Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, partinya mengembangkan layarnya ke Semenanjung.

“Hala tuju baharu parti ini juga adalah bagi menunaikan permintaan kira-kira 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung.

“Saya berada di Kuala Lumpur minggu lalu berjumpa dengan orang Sabah di sana, mereka cakap bela kami Datuk, ramai orang Sabah bekerja di Semenanjung termasuk Johor.

“Sudah tiba masanya kita kembangkan sayap ke Semenanjung. Sebagai parti yang berbilang agama dan bangsa serta memperjuangkan konsep Unity atau Perpaduan, Warisan sememangnya layak untuk mewakili setiap rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah tetapi juga Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shafie dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, konsep Unity yang diperjuangkannya mendapat sokongan rakyat dan pemimpin dari Semenanjung membolehkan Warisan menjadi parti tunggal terbesar di Sabah.

“Sebelum ini, dua parti tempatan Sabah iaitu PBS dan UPKO juga pernah bertanding di Semenanjung. Sudah hampir 60 tahun Sabah dan rakan Borneo (Sarawak) menjadi penentu kepada sumber asas ekonomi negara, justeru, tiba masanya untuk Sabah bukan sahaja terlibat dalam rundingan, tetapi pemimpin dari Sabah juga perlu menjadi kata pemutus,” katanya.

Parti Pejuang gagal didaftarkan

Bagaimanapun ramai melihat kemasukan parti Warisan ke Semenanjung yang bakal membuka keahliannya adalah lebih kepada untuk menerima Tun Dr Mahathir serta pemimpin pejuang dalam parti itu.

Pejuang perlukan parti yang telah kukuh bertapak memandangkan PRU ke-15 mungkin akan diadakan Mac tahun depan.  Jika tidak Pejuang tak mungkin sempat digunakan dalam PRU ke 15.

Cadangan masuk ke Semenanjung adalah satu cara menggurangkan persepsi buruk penyertaan Dr Mahathir dan rakan pejuang ke dalam Warisan kerana ia menggunakan alasan rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung.

PM daripada Sabah

Sebelum ini Dr Mahathir mencadangkan PM bagi PH ialah Datuk Seri Shafie Apdal Presiden Warisan. Langkah itu membuka ruang untuk Dr Mahathir mengekalkan Shafie sebagai pilihan PM daripada Sabah.

Oleh itu Shafie mencadangkan kepimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) perlu ditukar dan perubahan kepimpinan itu amat perlu dilakukan demi meraih kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita perlu jelas dengan tindakan ini kerana kita perlu persediaan untuk menghadapi pilihan raya tahun hadapan.

"Kalau kita masih kekal dengan kepimpinan dan modus operandi yang sama... maksudnya, tiada perbezaan dengan apa yang berlaku semasa pilihan raya yang lalu.

"Jangan kita kata hanya kita yang boleh memimpin dan orang lain tidak layak, jadi kita perlu berani untuk mengubah kepimpinan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2019 di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Ucapan Shafie Apdal ini jelas merujuk merombak kepimpinan PH yang sekarang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Maksudnya Anwar Ibrahim perlu ditukar jika mahu PH menang PRU ke-15.

 

 

 

 

5 Comments