Sarawak terima pelaburan tertinggi, sayangnya negara pula bermasalah 'orang nak jadi PM' - Abang Johari
14:12 Dec 15, 2020  |  By SabahKini2
Sarawak terima pelaburan tertinggi, sayangnya negara pula bermasalah 'orang nak jadi PM' - Abang Johari

Sarawak menerima pelaburan langsung asing (FDI) RM15.8 bilion dalam tempoh Januari dan September tahun ini. Tetapi di Malaysia sibuk berebut jadi PM, negara tak stabil pelabur lari.

Sarawak menjadi negeri paling banyak menerima pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh Januari dan September tahun ini dengan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM15.8 bilion.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini berdasarkan laporan UOB Financial Research and Markets baru-baru ini yang meletakkan Sarawak di hadapan negeri-negeri lain dalam menarik pelaburan asing dalam tempoh berkenaan.

“Kita yang banyak (menerima pelaburan asing) sebab kita stabil, sebab kita mempunyai kerukunan, saling menghormati di antara satu sama lain, politik kita stabil dan kita mempunyai dasar yang inklusif dan kalau ini berlaku, ekonomi kita akan memacu (ke hadapan) dan semuanya akan menerima manfaat,” katanya.

Berucap ketika merasmikan upacara pecah tanah untuk projek pembinaan Pusat Kebudayaan Orang Ulu di sini, hari ini, beliau berkata keadaan positif di negeri ini tidak dapat dinikmati di peringkat Persekutuan ketika ini berikutan ada pihak yang masih cuba mengganggu kerajaan yang sedang memerintah.

“Sayangnya negara menghadapi masalah besar. Tak putus-putus (ada individu yang masih) hendak menjadi Perdana Menteri (untuk menumbangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang),” katanya.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak juga sedang dalam proses untuk mengkaji kemungkinan menubuhkan dana kekayaan negara bagi memastikan dana negeri itu diurus dengan lebih profesional.

“Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk mengkaji perkara ini dan kita juga mengambil model (negara) Norway yang mempunyai dana kekayaan daripada sumbernya dan seterusnya untuk masa depan negara Norway,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran mengenai penubuhan dana ini, namun pada peringkat ini memadai baginya mengumumkan ia sebagai satu daripada perancangan kerajaan negeri untuk menguruskan lebihan dananya.

Menurutnya, kerajaan negeri menjangkakan peningkatan dalam pendapatannya berikutan kejayaan rundingan dengan syarikat petroleum negara, Petronas dalam penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas di Sarawak, di samping hasil yang diperolehi daripada penguatkuasaan cukai jualan negeri.

“Saya harap semua anak Sarawak mendapat manfaat daripada dasar jangka panjang kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan ia juga akan memberikan pulangan kepada rakyat Sarawak,” katanya. -Bernama

6 Comments