Kes Sabah dijangka naik hasil saringan di PTS Tawau- Masidi
09:12 Dec 16, 2020  |  By SabahKini2
Kes Sabah dijangka naik hasil saringan di PTS Tawau- Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hasil saringan tersebut dijadualkan diketahui hari ini dan akan menyumbang kepada pertambahan statistik kes baharu di daerah Tawau.

KOTA KINABALU: Kes positif Covid-19 di Sabah dijangka meningkat 16 Disember susulan saringan Covid-19 besar-besaran yang dilakukan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hasil saringan tersebut dijadualkan diketahui hari ini dan akan menyumbang kepada pertambahan statistik kes baharu di daerah Tawau.

Untuk 15 Disember sebanyak 260 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan tiga kematian yang direkodkan di Sandakan.

Daerah Lahad Datu mencatatkan kes tertinggi dengan 79 kes, diikuti dengan Kota Kinabalu yang mencatatkan 36 kes.

Manakala, Tuaran merekodkan 31 kes, Papar (24), Sandakan (19), Penampang (16), Tawau (12), Semporna (8), Kudat (8), Putatan (7), Kota Belud  (6), Beaufort (5) dan dua kes di Ranau, Tenom dan Beluran.

Sementara, satu kes masing-masing di Kalabakan, Kinabatangan dan Sipitang.

Kes positif baharu di Sipitang ini menjadikan daerah itu bertukar dari zon hijau kepada zon kuning.

Katanya, daripada 260 kes baharu, sebanyak 139 kes dikesan dari saringan kontak rapat di 15 daerah, 52 kes dari saringan kluster-kluster sedia ada, saringan bergejala 34 kes, saringan komuniti lapan kes dan 27 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara, sebanyak 400 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 30,283 kes.

Setakat ini, sebanyak 33,371 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,192 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 603 orang di hospital dan 1,589 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Dengan tiga kes kematian dilaporkan hari ini, kumulatif kematian di Sabah menjadi 242 kes.

Terdapat 60 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 14 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. - BT

2 Comments