Agong isytihar darurat Parlimen Gerik dan DUN Bugaya
05:12 Dec 17, 2020  |  By SabahKini2
Agong isytihar darurat Parlimen Gerik dan DUN Bugaya

Ia membolehkan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya yang telah dijadualkan pada 16 Januari depan, dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat terhadap Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap dua kawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan sudah menyembah maklum akan nasihat Jemaah Menteri kepada Seri Paduka supaya mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua kawasan berkenaan.

Pengisytiharan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memahsyurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam menyembah nasihat kepada baginda, Jemaah Menteri pada 4 Disember lalu, telah membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya jika diadakan pada masa pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah diadakan secara serentak, pada 16 Januari 2021.

Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Hasbullah meninggal dunia akibat sakit jantung di Raub, Pahang, pada 16 November lalu. Beliau memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti undi sebanyak 5,528.

Sementara itu, Manis Muka, 65, meninggal dunia akibat masalah buah pinggang di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, pada 17 November lalu. Beliau mempertahankan kerusi DUN Bugaya itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN), pada 26 Oktober lalu dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya.

Muhyiddin berkata, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK itu perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ekonomi dan ketenteraman awam selepas mengambil iktibar penularan COVID-19 susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Saya bagi pihak Jemaah Menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda atas perkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan," katanya.

Sebelum ini, Parlimen Batu Sapi di Sabah, yang turut berdepan PRK turut dikenakan perintah darurat.

Comment