SKMM lepasi sasaran awal pemasangan jalur lebar gentian optik tetap sebanyak 123.1 peratus
13:12 Dec 19, 2020  |  By SabahKini2
SKMM lepasi sasaran awal pemasangan jalur lebar gentian optik tetap sebanyak 123.1 peratus

Pengerusinya Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata MCMC telah komited untuk mencapai 352,101 premis yang dilengkapkan dengan gentian optik, namun, setakat ini telah mencapai 433,477 premis, iaitu 123.1 peratus siap sehingga 16 Dis 2020.

KUALA LUMPUR, 18 Dis  -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melepasi sasaran awalnya bagi gentian optik tetap untuk pemasangan jalur lebar yang telah siap di negara ini, sebanyak 123.1 peratus.

Pengerusinya Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata MCMC telah komited untuk mencapai 352,101 premis yang dilengkapkan dengan gentian optik, namun, setakat ini telah mencapai 433,477 premis, iaitu 123.1 peratus siap sehingga 16 Dis 2020.

“Kami meletakkan gentian itu dengan berterusan dan jangkaan jumlah pada tahun ini ialah 435,947 untuk disiapkan menjelang 31 Dis 2020, dengan pencapaian 123.8 peratus,” katanya kepada pemberita dalam taklimat media bagi laporan suku pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA), secara maya di sini, hari ini.

Fadhlullah Suhaimi berkata laporan JENDELA adalah mengikut suku tahunan, oleh itu, sasaran yang ditetapkan akan dilaporkan mengikut pelaksanaan.

“Laporan seumpama ini bertujuan menjadikan JENDELA sebagai rancangan yang amat telus, untuk memberikan semangat yang secukupnya kepada kami serta industri bagi memastikan apa sahaja janji yang telah dibuat menerusi program ini akan dilunaskan seperti dirancang,” katanya.

Bagi jalur lebar mudah alih, MCMC serta penggiat telekomunikasi (telco) yang lain berjaya melengkapkan penempatan 746 tapak, iaitu pencapaian sebanyak 79.4 peratus sehingga 16 Dis 2020.

MCMC mengunjurkan bahawa, ia akan melengkapkan 875 penempatan tapak jalur lebar mudah alih baharu bersama-sama pemain telco lain, iaitu penyiapan 93.1 peratus berbanding sasaran awal 940 penempatan tapak menjelang 31 Dis 2020.

Sehingga 16 Dis 2020, MCMC serta pemain telco yang lain telah menaik taraf 16,029 kawasan dengan kadar pelaksanaan 98.9 peratus.

MCMC serta penyedia telco telah berjaya mencapai jangkaan 16,366 tapak yang dinaik taraf untuk disiapkan menjelang 31 Dis 2020 berbanding sasaran awal 16,214, peningkatan 100.9 peratus daripada yang diunjurkan, kata Fadhlullah Suhaimi.

Beliau berkata JENDELA mempunyai aspirasi nasional menjelang 2025 iaitu sembilan juta premis dilengkapi kelajuan melebihi 100Mbps menerusi pelaksanaan 5G, di samping liputan 4G sebanyak 100 peratus di kawasan berpenduduk.

“Sasaran akhir adalah agar sembilan juta rumah mempunyai gentian yang diluluskan memandangkan penting untuk negara mempunyai rangkaian gentian yang meluas pada masa depan. Kedua, mendapat rangkaian 4G yang tepat sebelum kita beralih kepada 5G dan dengan itu mendorong kelajuan mudah alih untuk melebihi 100 Mbps.

“JENDELA bukanlah berkenaan 4G, tetapi menyediakan kita kepada 5G dan oleh itu, sekiranya kita agak baik dalam mencapai sasaran, kita tiada alasan untuk mempertimbangkan 5G di negara ini,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi berkata pelan tindakan JENDELA merangkumi pembinaan 940 tapak mudah alih baharu di bandar dan pinggir bandar, menaik taraf 16,214 stesen pangkalan yang sedia ada di kawasan bandar dan pinggir bandar dan melaksanakan gentian optik kepada 352,101 premis pada tahun ini. 

Sementara itu, MCMC antara lain akan menaik taraf stesen pangkalan 2G/3G yang sedia ada kepada 4G untuk meluaskan liputan dan meningkatkan kelajuan, menamatkan rangkaian 3G dan menukar spektrum itu kepada penggunaan teknologi 4G serta melaksanakan gentian optik kepada 1,245,452 premis tambahan.

Untuk tempoh 2020 hingga 2022, MCMC merancang untuk membina 1,661 tapak baharu di seluruh Malaysia bagi meluaskan liputan 4G di kawasan luar bandar dan pedalaman dan melaksanakan gentian optik di  929,631 premis tambahan.

Fadhlullah Suhaimi berkata wujud isu dasar untuk diselesaikan MCMC di peringkat negeri dan persekutuan serta cabaran yang wujud antara agensi.

Mengenai kekurangan tapak jalur lebar mudah alih, beliau berkata faktor-faktor seperti perancangan yang tidak sempurna dan kekurangan pelaksanaan; bantahan orang ramai; birokrasi negeri; kelulusan di peringkat pihak berkuasa tempatan; halangan pengambilalihan tapak serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, telah menjejaskan operasi itu.

JENDELA bertujuan menyediakan rakyat Malaysia dengan akses yang berkualiti kepada kesalinghubungan digital di seluruh negara dan ia dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama (2020-2022) akan membolehkan sehingga 7.5 juta kelajuan gigabit premis dengan jalur lebar tetap; liputan mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.8 peratus di kawasan berpenduduk; menaik taraf kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25 megabit sesaat (Mbps) kepada 35Mbps dan melibatkan usaha penamatan rangkaian 3G secara berperingkat menjelang akhir 2021.

Fasa dua (2022 dan berikutnya) pula melibatkan penggunaan akses tetap tanpa wayar dan teknologi lain yang bersesuaian bagi menangani jurang digital selain menyasarkan pelaksanaan 5G sebaik perancangan dalam fasa pertama dapat dicapai.

Comment