COVID-19: Kes terbaharu Selangor kekal tertinggi, Sabah kini ketiga
20:12 Dec 20, 2020  |  By SabahKini2
COVID-19: Kes terbaharu Selangor kekal tertinggi,  Sabah kini ketiga

Sebanyak 1,340 kes baharu COVID-19 direkodkan bagi tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini sebanyak 93,309 kes.

Pada hari ini, 20 Disember 2020, negara kita telah merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,340 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 93,309 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 15,563 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tiga (3) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,337 kes.

Negeri Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 441 kes (32.9 peratus). Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 284 kes (21.2 peratus) dan Sabah yang melaporkan sebanyak 196 kes (14.6 peratus).

Sebanyak 134 kes (10.0 peratus)yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (58 kes), Kluster Tembok Gajah (56 kes), Kluster Tembok (10 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (8 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (2 kes).

Sehingga kini, terdapat 116 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat (4) kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 437 kes (0.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

No. Kematian No. Kes Negeri Jantina (warganegara) Umur (tahun) Hospital/Tempat Kematian Latar Belakang
434 63582 Selangor Lelaki(WN) 63 Hospital Sungai Buloh Penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, strok dan obesiti
435 70071 Pulau Pinang Lelaki (WN) 67 Hospital Pulau Pinang Penyakit darah tinggi
436 72925 Sabah Lelaki(WN) 78 Hospital Tawau Penyakit darah tinggi dan jantung
437 91013 Sabah Lelaki(BWN) 77 Jenazah dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan

Ringkasan kes kematian hari ini adalah seperti berikut:

*WN merujuk kepada warganegara dan BWN merujuk kepada bukan warganegara.

KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga beliau.

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER 

Sehingga 20 Disember 2020, terdapat sebanyak 443 kluster telah dilaporkan termasuk tiga (3) kluster baharu pada hari ini. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 244 kluster termasuk tiga (3) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Saga, Kluster Tatahan dan Kluster Sakti di Sabah. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 199 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 klustermelaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Metropolis (140 kes), Kluster Ceram (107 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (58 kes).

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,067 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 77,309 kes (82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

Comment