Kerajaan GRS beri syarat SFI pulangkan tanah kepada penduduk kampung
23:12 Dec 22, 2020  |  By SabahKini2
Kerajaan GRS beri syarat SFI pulangkan tanah kepada penduduk kampung

Keluarkan daripada SFI, Gazet sebagai tanah kampung. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, satu jawatankuasa dibentuk untuk mengkaji isu penempatan penduduk di kawasan terbabit.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menetapkan syarat agar syarikat yang mengusahakan Sabah Forest Industries (SFI) membenarkan penempatan penduduk yang sudah lama di kawasan SFI dikeluarkan dan digazetkan sebagai tanah penduduk kampung berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, satu jawatankuasa dibentuk untuk mengkaji isu penempatan penduduk di kawasan terbabit.

Katanya, kerajaan negeri berharap isu berkenaan dapat diselesaikan menerusi rundingan memandangkan ia bukan tanah kerajaan tetapi tanah syarikat yang bertanggungjawab terhadap SFI.

"Kita akan pastikan dengan menentukan syarat supaya penempatan perkampungan yang sudah lama di SFI dibenarkan untuk dikeluarkan dan dijadikan kawasan perkampungan penduduk yang lama.

"Ini salah satu syarat yang akan kita kenakan kepada syarikat yang akan melaksanakan projek atau mengusahakan SFI.

"Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berusaha memikirkan kepentingan rakyat yang sudah lama tinggal lama di kawasan SFI dengan meminta syarikat berkenaan mengeluarkan tanah yang diduduki itu supaya digazetkan sebagai kawasan perkampungan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Yusof Yacob (WARISAN-Sindumin) dalam penggulungan mengenai isu tanah-tanah perkampungan di kawasan SFI.

Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, SFI adalah pemegang lesen jangka panjang 'Sustainable Forest Management License Agreement' (SFMLA) dalam kawasan Hutan Simpan Sipitang Kelas II (Komersial).

Menurutnya, mengikut rekod Jabatan Perhutanan Sabah, kawasan tanah kampung yang termasuk dalam kawasan SFI hanya melibatkan tiga buah kampung iaitu 11 rumah di Kampung Pakiak, 25 rumah di Kampung Tunas Baru dan lima rumah di Kampung Lumampau.

"Ia melibatkan keluasan sekitar 20 hektar dengan jumlah penduduk sekitar 300 orang. 

"Isu ini serta lain-lain kawasan tanah kampung dalam kawasan hutan simpan sentiasa menjadi perhatian kerajaan negeri dan tindakan untuk menyelaras perkara ini akan diambil secara berperingkat.

"Buat masa ini, kajian 'social baseline' akan dijalankan di kawasan yang terlibat untuk menyokong sebarang tindakan lanjut kelak," katanya.

Oktober tahun lalu kecoh tular surat daripada Shafie dan kerajaan Warisan apabila tanah seluas 5000 ekar cuba diambil oleh orang luar Sipitang bagi tujuan pertanian di Kg Long Mio Sipitang yang mencetuskan kemarahan warga Sipitang.

Bagaimanapun selepas tular permohonan tanah itu dibatalkan malah Datuk Dr. Yusof Yacob Adun Sindumin menafikan terlibat dengan projek membolot tanah ini.

[ARTIKEL LAIN SFI:  SFI telah digadai! Kini Shafie arah beri tanah 5000 ekar kepada ‘Orang Luar’ di Kg Long Mio Sipitang ]

 

Comment