Platform digital promosi pelancongan Sabah
00:12 Dec 23, 2020  |  By SabahKini2
Platform digital promosi pelancongan Sabah

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, penularan wabak COVID-19 tidak menghentikan aktiviti promosi malah diteruskan dengan mengambil pendekatan yang berbeza.

KOTA KINABALU: Promosi melalui platform digital antara pendekatan yang digiatkan kerajaan negeri bagi meneruskan usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, penularan wabak COVID-19 tidak menghentikan aktiviti promosi malah diteruskan dengan mengambil pendekatan yang berbeza.

Katanya, usaha itu diteruskan dengan mempergiatkan promosi melalui platform digital bagi mengekalkan kesedaran terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan.

"Sejak bulan Mac lepas sehingga kini, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) melaksanakan pelbagai aktiviti promosi khusus bagi pasaran domestik antaranya penyertaan di empat pesta pelancongan atas talian iaitu 'Online MATTA Fair', 'MITA e-Travel Fair', 'Weddings Malaysia Virtual Fair', dan 'Go Lokal Online Fair'.

"Selain itu, lawatan suai kenal untuk para blogger dan media serta agen-agen pelancongan turut dilaksanakan dan juga penerbitan risalah-risalah dan video-video berkait dengan prosedur operasi standard (SOP).

"Pendekatan lain yang dijalankan termasuklah kempen digital #BahMarilah sebagai platform untuk pengusaha pelancong mempromosikan pakej mereka," katanya bagi menjawab soalan Datuk Mohamaddin Ketapi (WARISAN-Segama) mengenai langkah-langkah kementerian ke arah memulihkan keyakinan pelancong domestik untuk datang ke Sabah.

Beliau berkata, kempen digital turut dilaksanakan untuk ahli-ahli Persatuan Hotel Malaysia (MAH), ejen pelancongan dan pengusaha produk pelancongan serta kolaborasi dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia.

Dalam pada itu katanya, mulai Disember 2020 hingga tahun hadapan, pihak STB juga akan menjalankan pertandingan 'Recreate your holiday picture' iaitu kolaborasi bersama dengan MASwing serta pertandingan 'SayangSabah and Let’s Carhub'.

Menurutnya, pelaksanaan kempen digital #RinduSabah dan pengiklanan banner di empat pasaraya AEON terpilih di Lembah Klang juga antara langkah menarik pelancong domestik.

"Kolaborasi strategik bersama syarikat-syarikat penerbangan bagi mempromosikan laluan domestik baharu iaitu Kuala Terengganu-Kota Kinabalu (AirAsia) dan Pulai Pinang-Kota Kinabalu (Firefly) yang dijangka bermula pada suku pertama 2021.

"Roadshow di pusat membeli belah terpilih di Lembah Kelang pada suku pertama 2021 dan kolaborasi bersama jenama-jenama terpilih seperti Xiaomi dan GoPro turut dipergiatkan.

"Melalui aktiviti-aktiviti ini, saya yakin kita akan dapat menyebarkan berita positif, meningkatkan kesedaran mengenai destinasi Sabah dan seterusnya memulihkan keyakinan pelancong domestik untuk melawat Sabah," jelasnya.

Comment