PKPD Di Kg Paginatan dan Kg Maringkan, Ranau
04:12 Dec 29, 2020  |  By SabahKini2
PKPD Di Kg Paginatan dan Kg Maringkan, Ranau

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 529 ujian saringan dan sebanyak 89 kes positif COVID-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Paginatan dan Kampung Maringkan, Ranau bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perintah tersebut berkuat kuasa 29 Disember 2020 sehingga 11 Januari 2021.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah hari ini telah melaporkan situasi peningkatan kes positif COVID-19 di Kampung Paginatan dan Kampung Maringkan, Ranau.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 529 ujian saringan dan sebanyak 89 kes positif COVID-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang melibatkan seramai 865 orang penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya prosedur operasi standard (SOP) PKPD di kedua-dua lokaliti tersebut adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini kecuali kelonggaran kepada kedai runcit di kawasan PKPD dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 6 petang.

Katanya, pasar awam di kawasan PKPD juga dibenarkan beroperasi dua kali seminggu dari jam 6 pagi hingga 2 petang.

Masidi berkata, pada Isnin jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 157 kes dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 36,231 kes.

Katanya, satu kematian direkodkan di Hopital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu melibatkan warga emas berusia 62 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi.

“Setakat ini bilangan zon merah berkurang kepada 11 daerah dengan kes tertinggi di Kota Kinabalu hari ini iaitu sebanyak 46 kes.

“Dua daerah kekal sebagai zon hijau iaitu Nabawan dan Tambunan,” katanya

Comment