Hajiji Gesa Ahli Majlis Daerah Berganding Bahu Jayakan Pelan Sabah Maju Jaya
13:12 Dec 30, 2020  |  By SabahKini2
Hajiji Gesa Ahli Majlis Daerah Berganding Bahu Jayakan Pelan Sabah Maju Jaya

Hajiji berkata semua pihak terbabit perlu bersikap peka dan proaktif, dalam melaksanakan setiap perancangan yang diputuskan oleh kerajaan negeri. Pelan SMJ yang dijadual dibentangkan Januari ini, merupakan kerangka hala tuju dan strategi untuk terus mema

TUARAN, 29 Dis : Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor menggesa semua ahli majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk berganding bahu bersama kerajaan negeri bagi menjayakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025.

Pelan SMJ yang dijadual dibentangkan Januari ini, merupakan kerangka hala tuju dan strategi untuk terus memacu ekonomi negeri dan sosio-ekonomi rakyat.

Hajiji berkata semua pihak terbabit perlu bersikap peka dan proaktif, dalam melaksanakan setiap perancangan yang diputuskan oleh kerajaan negeri.

“Saya berharap semua ahli majlis daerah bekerjasama sebagai satu pasukan dan bertanggungjawab memastikan apa juga perancangan serta aspirasi kerajaan masa kini dapat dilaksanakan dengan telus dan berkesan.

“Ahli majlis daerah juga perlu lebih proaktif terutama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Lengkapkanlah diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas bagi memudahkan pelaksanaan dan perancangan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi tahun 2020-2022 di sini hari ini yang menyaksikan seramai 20 ahli majlis daerah yang baharu dilantik dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

Hajiji berkata pelantikan ahli majlis daerah bertujuan membantu PBT dalam membuat dasar, merancang dan memantau program pembangunan, oleh itu setiap daripada mereka perlu memahami peranan selain menegakkan integriti, ketelusan serta akauntabiliti awam.

“Untuk memberi perubahan dalam pentadbiran dan pengurusan PBT, tugasan ahli majlis bukan setakat mendapatkan atau menerima aduan rakyat, tetapi perlu mengamalkan turun padang agar lebih jelas dengan masalah dihadapi penduduk,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri menyediakan sejumlah RM25.5 juta menerusi Belanjawan Sabah 2021, untuk pelbagai kemudahan awam di 24 PBT seluruh Sabah, selain peruntukan RM4 juta bagi memacu pertumbuhan ekonomi pekan-pekan baharu.

“Untuk memperkukuhkan daya saing PBT dari segi modal pusingan, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM36.53 juta caruman kepada kuasa-kuasa tempatan dalam belanjawan kerajaan pada tahun depan.

“Saya berharap peruntukan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua PBT di negeri ini bagi memberi perkhidmatan dan prasarana terbaik kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA

Comment