Syarikat Raihanah Cold Storage, dua pengarah didakwa guna logo halal palsu
15:12 Dec 30, 2020  |  By SabahKini2
Syarikat  Raihanah Cold Storage, dua pengarah didakwa guna logo halal palsu

Tertuduh, Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan Raihanah Kassim, 42, yang juga pemilik Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri yang juga pengarah syarikat pembekal daging milik mereka, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan menggunakan logo halal tanpa perakuan awal bulan ini.

Tertuduh, Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan Raihanah Kassim, 42, yang juga pemilik Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu, sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Rahman dan Raihanah didakwa menggunakan logo halal tanpa perakuan pihak berkuasa berwibawa, pada sebuah lori jenama Isuzu.

Mereka secara bersama, selaku pemilik Raihanah Enterprise, juga didakwa menggunakan logo halal tanpa perakuan pihak berkuasa berwibawa pada sebuah lori jenama Mitsubishi.

Suami isteri itu dan Raihanah Cold Storage didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di premis syarikat mereka di Taman Perniagaan Setia di sini, kira-kira jam 1 tengah hari pada 1Disember lalu.

Raihanah Cold Storage didakwa mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang boleh dihukum mengikut Perenggan 8(A) perintah sama, sabit kesalahan boleh didenda minimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda maksimum RM500,000, jika sabit kesalahan.

Rahman dan Raihanah secara bersama-sama turut didakwa mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum mengikut Perenggan 8(B) perintah sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda maksimum RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, T Ashvini, manakala Rahman dan Raihanah diwakili peguam bela, Noor Liana Hashim dan Lau Kok Guan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap Rahman dan Raihanah, bagi pertuduhan kedua.

Ashvini berhujah, jaminan yang tinggi wajar dikenakan memandangkan kes logo halal mendapat liputan luas media dan turut dibincangkan di Parlimen.

Peguam bela, Noor Liana Hashim dan Lau Kok Guan kemudian merayu jaminan dikurangkan atas alasan syarikat itu masih beroperasi dengan 20 pekerja, selain pasangan suami isteri itu menanggung empat anak berumur antara 10 dan 20 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu dijamin masing-masing dengan RM40,000 dan seorang penjamin selain menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes berkenaan bagi penyerahan dokumen.

Nota: Siapa agaknya di belakang mereka? Apakah mereka kambing hitam?

[ARTIKEL BERKAITAN- Kronologi Pendedahan Kartel Daging Sejuk Beku ]

 

1 Comment