Rekod tertinggi 2,593 kes baharu,Sabah ketiga selepas Johor dan Selangor
16:01 Jan 06, 2021  |  By SabahKini2
Rekod tertinggi 2,593 kes baharu,Sabah ketiga  selepas Johor  dan Selangor

Kuala Lumpur: Kes baharu positif Covid-19 hari ini, mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini iaitu 2,593 kes. Ia menjadikan jumlah keseluruhan penularan pandemik ini kepada 125,438 kes dengan jumlah kes aktif 24,347 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat (4) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,589 kes.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 965 kes (37.2 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 894 kes (92.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 571 kes (22.0 peratus) dan Sabah sebanyak 405 kes (15.6 peratus).

Sebanyak 81 kes (3.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (4 kes), Kluster Tembok Gajah (3 kes), dan Kluster Matambai (1 kes).

Sehingga kini, terdapat 141 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 67 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat (4) kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 513 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ringkasan kes kematian hari ini adalah seperti berikut:

No. Kematian No. Kes Negeri Jantina (warganegara) Umur (tahun) Hospital/ Tempat Kematian Latar Belakang
510 43178 Sabah Lelaki (WN) 65 Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu Penyakit darah tinggi, kencing manis, gout dan buah pinggang kronik
511 106140 WP Kuala Lumpur Perempuan (WN) 60 Hospital Sungai Buloh Penyakit darah tinggi
512 111987 Selangor Lelaki (WN) 73 Jenazah dibawa ke Hospital Selayang Penyakit darah tinggi, kencing manis, dan buah pinggang kronik
513 113249 Sabah Perempuan (WN) 50 Jenazah dibawa ke Hospital Kudat Penyakit darah tinggi, dislipidemia dan obesiti

*WN merujuk kepada warganegara.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,129 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 100,578 kes (80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

Comment