Jangkitan dalam komuniti membimbangkan, PKP Mungkin Dilaksana Semula – Masidi
14:01 Jan 08, 2021  |  By SabahKini2
Jangkitan dalam komuniti membimbangkan, PKP Mungkin Dilaksana Semula – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan selaku jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jangkitan dalam kalangan komuniti semakin membimbangkan dan jika masyarakat tidak mengambil serius perkara ini, kes akan menjadi tidak terkawal.

KOTA KINABALU: Trend peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah dilihat boleh membawa kepada langkah menghadkan penganjuran aktiviti sosial dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan selaku jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jangkitan dalam kalangan komuniti semakin membimbangkan dan jika masyarakat tidak mengambil serius perkara ini, kes akan menjadi tidak terkawal.

Sekiranya kes berada dalam keadaan tidak terkawal, pelaksanaan PKP mungkin perlu dikuat kuasakan semula di Sabah.

Oleh itu, beliau menyarankan semua rakyat di negeri ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar penularan jangkitan dalam komuniti dapat dihentikan.

Ketika ini, kerajaan negeri akan melihat segala pilihan yang ada sebelum menghadkan sebarang pengajuran aktiviti sosial dan perhimpunan awam.

Walaupun ketika ini kelonggaran diberikan bagi penganjuran aktiviti sosial namun, kerajaan akan membuat keputusan bergantung kepada keadan kes semasa dan rekomendasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, kerajaan akan melihat kepada semua pilihan yang ada dan jika ada keperluan bagi mengetatkan SOP, perkara pertama yang perlu dilihat adalah mengkaji semula kebenaran melakukan aktiviti sosial yang menjadi punca kepada jangkitan komuniti.

“Apabila ini berlaku, aktiviti sosial akan dihadkan. Kita akan melihat semula kelonggaran membenarkan aktiviti sosial sekiranya kes semakin meningkat,” ujarnya.

Mengulas mengenai keperluan menghadkan aktiviti rentas negeri, Masidi berkata, pilihan sentiasa ada namun, pada akhirnya pertimbangan akan dibuat demi menjamin kebajikan rakyat.

Pilihan menghadkan aktiviti rentas negeri akan diberi pertimbangan bergantung kepada perkembangan semasa kes Covid-19 di Sabah.

Semalam, kes di Sabah terus meningkat kepada 405 kes dengan 49 kluster masih aktif. Sehingga kini, kes positif Covid-19 di Sabah sudah mencecah 38,960 kes dengan 277 kes kematian-BT

4 Comments