Tolak polemik 'Politik Malaya', GRS Meterai MoU Kerjasama
02:01 Jan 10, 2021  |  By SabahKini2
Tolak polemik 'Politik Malaya',   GRS Meterai MoU  Kerjasama

Berpaksikan mandat yang diberikan rakyat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, semua parti yang ada dalam gabungan ini bersetuju memastikan mandat rakyat ini dihormati dan perlu diteruskan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat

KOTA KINABALU: Parti politik yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama mereka, selain menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan itu.

MoU itu ditandatangani Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor; Pengerusi Barisan Nasional (bn) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee; Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Ellron Alfred Angin; Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Radin Malleh; Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup; Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhamad dan Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata MoU itu yang merupakan memorandum pertama seumpama dimeterai di bawah GRS, penting bagi mengukuhkan ikatan politik melalui musyawarah dan perundingan berasaskan persefahaman antara parti.

“Berpaksikan mandat yang diberikan rakyat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, semua parti yang ada dalam gabungan ini bersetuju memastikan mandat rakyat ini dihormati dan perlu diteruskan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama di antara komponen GRS, sememangnya kukuh sejak PRN Sabah ke-16 lagi tetapi dengan memorandum ini kerjasama ini dapat kita kukuhkan lagi bagi memenuhi mandat yang diberi rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di sini. 

1 Comment