Kudat Banjir Kilat Terburuk Dalam Tempoh Lebih 30 Tahun
23:01 Jan 12, 2021  |  By SabahKini2
Kudat Banjir Kilat Terburuk Dalam Tempoh Lebih 30 Tahun

Sehingga tengah hari ini, seramai 932 mangsa daripada 283 keluarga ditempatkan di PPS SK Sikuati dan bilangan mangsa dijangka meningkat berikutan hujan masih berterusan.

KUDAT: Hujan berterusan lebih 50 jam sejak Ahad lalu menyebabkan banjir kilat terburuk sejak lebih 30 tahun lalu melanda Kampung Korina, Sikuati, dekat sini, semalam.

Jamiah Yunus, 78, yang menetap di kampung berkenaan sejak 40 tahun lalu, berkata banjir kilat pernah berlaku sebelum ini, tetapi hanya pada paras 0.3 meter dan cepat surut berbanding kali ini yang ketinggian air mencecah lebih 3 meter dalam masa singkat.

Katanya, air naik dengan cepat pada 7 pagi semalam dan dia sekeluarga dengan segera menyelamatkan pelbagai barangan penting sebelum berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Saya terkejut kerana air naik dengan cepat. Sudah sekian lama kampung ini tidak mengalami banjir kilat seperti ini.

“Selalunya, banjir kilat cepat surut dan kami tidak perlu pindah ke PPS,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sikuati, Kudat.

Sehingga tengah hari ini, seramai 932 mangsa daripada 283 keluarga ditempatkan di PPS SK Sikuati dan bilangan mangsa dijangka meningkat berikutan hujan masih berterusan.

Sementara itu, Tamahri Delus, 53, berkata disebabkan Kampung Korina bukan kawasan selalu dilanda banjir sejak lebih 30 tahun lalu, rumahnya dibina tanpa tiang dan banjir kilat kali ini memusnahkan banyak barangan rumahnya.

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Makin Duali, 46, berkata ramai penduduk kampung terkejut dengan kejadian banjir kilat itu yang menyebabkan kampung itu seakan-akan bertukar menjadi lautan.

“Saya menetap di kampung itu sejak lebih 10 tahun lalu dan ini kali pertama saya melihat kampung ini dilanda banjir teruk dan memaksa penduduk untuk berpindah ke PPS,” katanya.

Sementara itu, petugas Jabatan Pengairan Dan Saliran Kudat, Liew Vun Yap berkata, setakat 12 tengah hari hari ini, paras air Sungai Korina adalah 2.3 meter, di atas paras bahaya sungai berkenaan iaitu 1.6 meter.

“Saya bersama tiga kumpulan lain sedang membuat pemantauan setiap jam bagi paras air sungai ini dan memberikan laporan terkini kepada bilik operasi.

“Walaupun hujan berterusan, terdapat trend penurunan paras air sungai berbanding 2.8 meter pagi tadi,” katanya. – BERNAMA

1 Comment