Mangsa banjir, air pasang besar di Sabah dapat RM500- Hajiji
09:01 Jan 16, 2021  |  By SabahKini2
Mangsa banjir, air pasang besar di Sabah dapat RM500- Hajiji

Hajiji meminta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di samping mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa khususnya ketika banjir dan fenomena air pasang besar sedang melanda di negeri ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan bantuan RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir dan fenomena air pasang besar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, agihan akan diselaraskan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pejabat daerah yang terbabit.

Katanya, selain wang tunai, bantuan makanan kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) turut diagihkan.

“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan NADMA menyalurkan bantuan makanan kepada semua mangsa yang dipindahkan ke PPS dan bakul makanan bernilai RM200 bagi setiap KIR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hajiji meminta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di samping mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa khususnya ketika banjir dan fenomena air pasang besar sedang melanda di negeri ini.

Dalam pada itu katanya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terbabit banjir dan fenomena air pasang besar menggerakkan seramai 635 anggota pelbagai agensi dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.

Enam daerah di Sabah membabitkan Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Lahad Datu, Paitan, Kudat dilanda banjir manakala fenomena air pasang besar melanda Kudat dan Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Sehingga jam 4 petang tadi, jumlah mangsa berkurangan kepada 287 orang di tujuh PPS.- HM

Comment