Sabah Wajibkan Saringan Covid-19 Pekerja Ladang- Masidi
10:01 Jan 16, 2021  |  By SabahKini2
Sabah Wajibkan Saringan Covid-19 Pekerja Ladang- Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, arahan itu dikeluarkan kerajaan negeri berikutan dua kluster baharu membabitkan pekerja ladang

KOTA KINABALU: Syarikat perladangan di Sabah diarah melaksanakan ujian saringan Covid-19 terhadap semua pekerja di ladang masing-masing.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, arahan itu dikeluarkan kerajaan negeri berikutan dua kluster baharu membabitkan pekerja ladang yang dilaporkan hari ini.

Menurutnya, arahan itu yang sebelum ini hanya berupa nasihat, diwajibkan dan berkuat kuasa serta-merta bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan ladang.

“Kerajaan negeri mengarahkan semua syarikat perladangan membuat saringan itu terhadap semua pekerja ladang berikutan penemuan dua kluster baharu membabitkan ladang pada hari ini iaitu Kluster Ladang Baturong di Kunak dan Kluster Ladang Matamba di Lahad Datu.

“Kerajaan juga mengarahkan semua pengusaha ladang untuk menyediakan fasiliti kesihatan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di ladang masing-masing atas dasar tanggungjawab sosial dan kebajikan pekerja,” katanya ketika sidang media perkembangan Covid-19 Sabah di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kluster Ladang Baturong mencatat sebanyak 44 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 54 kes.

Bagi Kluster Ladang Matamba di Lahad Datu pula, sebanyak empat kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 20 kes.

Masidi berkata, kes baharu di kedua-dua ladang itu dikesan menerusi saringan secara besar-besaran yang dilaksanakan pengurusan ladang melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Bagi Kluster Ladang Baturong daripada 212 saringan yang dijalankan, 10 orang didapati positif Covid-19, manakala 44 kes lagi direkodkan daripada saringan kontak rapat.

“Di Kluster Ladang Matamba pula, sebanyak 20 kes positif dikesan. Aktiviti siasatan serta pengesanan kontak masih lagi giat dijalankan oleh pihak pengurusan ladang,” katanya.

Masidi menambah, bagi pekerja ladang yang tidak dilindungi PERKESO, syarikat pengurusan perlu membiayai kos saringan mereka agar tiada pekerja ladang yang tercicir daripada menjalani ujian saringan Covid-19.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan 514 kes baharu positif COVID-19 hari ini dengan dua kematian iaitu di Putatan dan Kota Kinabalu, menjadikan kumulatif kes sehingga hari ini sehanyak 42,802.

Bagi pesakit sembuh, seramai 370 dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan kumulatif sembuh setakat ini seramai 38,610 orang.

Sementara itu, seramai 2,868 orang pesakit Covid-19 masih dirawat dengan 786 orang di hospital dan 2,082 orang di PKRC termasuk 75 di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 17 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Mengenai kapasiti katil Covid-19, Masidi berkata, sebanyak 1,039 katil disediakan di hospital, manakala 4,593 katil di PKRC, selain 1,100 katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dengan kadar penggunaan sebanyak 42.62 peratus pada hari ini. 

Comment