Ketua Menteri turun padang lawat PPS dan kawasan terjejas banjir
22:01 Jan 17, 2021  |  By SabahKini2
Ketua Menteri turun padang lawat PPS dan kawasan terjejas banjir

Prihatin dengan rakyat yang dilanda bencana banjir di beberapa daerah di kawasan Pantai Barat, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turun padang meninjau sendiri keadaan banjir, melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) banjir.

KOTA KINABALU: Prihatin dengan rakyat yang dilanda bencana banjir di beberapa daerah di kawasan Pantai Barat, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini turun padang meninjau sendiri keadaan banjir dan melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) banjir.

Pada sebelah pagi, Hajiji meninjau persiapan banjir di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tuaran di Dewan Seri Sulaman Tuaran dan melawat Kampung (Kg) Kegayungan, Tuaran yang dilanda banjir.

Sementara pada sebelah petang beliau melawat PPS Dewan Masyarakat Likas yang menempatkan 46 orang mangsa dari tujuh keluarga.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Ketua Bahagian BERSATU Penampang, Senator Datuk John Ambrose, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Johari Saiman.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan telah mengarahkan Pegawai-Pegawai Daerah di kawasan yang sering dilanda banjir, agar mengaktifkan PKOB Daerah sebagai persiapan bagi membantu rakyat yang dilanda bencana alam itu.

Katanya, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersimpati dengan rakyat yang ditimpa bencana alam itu.

“Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan bantuan berbentuk makanan bermasak kepada semua mangsa yang telah dipindahkan ke PPS dan bakul makanan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).

“Selain itu, pihak NADMA juga akan mengagihkan wang ihsan berjumlah RM500 bagi setiap KIR. Perkara ini akan diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Daerah yang terlibat”, katanya.

Dilaporkan Hajiji akan mengadakan lawatan ke beberapa daerah lain yang terjejas akibat banjir, esok.

Ketua Menteri juga meminta Urusetia Bencana Negeri sentiasa memaklumkannya situasi terkini banjir di Sabah

Sementara itu Hajiji menggesa semua penduduk yang terjejas banjir di negeri ini supaya segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarahkan dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang masalah tidak diingini berlaku. 

“Mangsa banjir perlu mendengar nasihat pihak berkuasa. Apa yang paling penting semua mangsa banjir juga perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di PPS agar tiada penularan COVID-19 berlaku di situ. 

Sekarang kita bukan sahaja berhadapan dangan masalah banjir tetapi kita juga sedang berhadapan dengan COVID-19. Oleh itu, kita tidak mahu ada jangkitan berlaku di PPS,

“Kerajaan akan sentiasa memantau keadaan banjir di negeri ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu mangsa yang terlibat,” katanya. 

 

2 Comments