Musa Hargai Sokongan Penjawat Awam Negeri Persekutuan
10:01 Jan 15, 2018  |  By SabahKini2
Musa Hargai Sokongan Penjawat Awam Negeri Persekutuan

"Penjawat awam di seluruh negeri, bukan sahaja di ibu pejabat, tetapi juga di peringkat daerah dan daerah kecil, adalah sahabat dan rakan sepasukan. Terima kasih kepada anda semua," - Tan Sri Musa Aman

KOTA KINABALU, 15 Jan- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman menghargai sokongan dan kerja keras penjawat awam negeri dan Persekutuan di Sabah atas kemajuan yang dikecapi negeri sehingga hari ini.

Katanya, kemajuan dari segi ekonomi, sosial dan fizikal tercapai hasil komitmen penjawat awam untuk bekerja secara berpasukan dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri.

"Episod kejayaan kita selama ini bukanlah pencapaian dan kejayaan saya secara individu sebagai Ketua Menteri atau Menteri Kewangan Sabah.

"Percayalah, kita telah dan sedang berada pada landasan yang betul dan kita berada pada platform yang terbaik untuk meneruskan kesinambungan kejayaan dan kemajuan ini.

"Penjawat awam di seluruh negeri, bukan sahaja di ibu pejabat, tetapi juga di peringkat daerah dan daerah kecil, adalah sahabat dan rakan sepasukan. Terima kasih kepada anda semua," katanya pada Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Sabah bersama anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan di sini hari ini.

Musa berharap penjawat awam di negeri ini terus komited menjayakan semua perancangan secara cekap dan berkesan agar impak positif dan manfaatnya dapat dinikmati oleh kumpulan sasar dan rakyat keseluruhannya.

Untuk itu, beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa mengekalkan hubungan erat dan kerjasama padu dengan kerajaan pusat bagi memastikan rakyat di Sabah mendapat manfaat daripada pelbagai program pembangunan.

 


"Walaupun banyak pembangunan telah dicapai, masih banyak lagi yang perlu kita laksanakan terutamanya dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam untuk rakyat.

"Kita juga berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sentiasa mendengar suara kita dengan menyalurkan peruntukan yang besar untuk pembangunan sosioekonomi negeri," katanya.

Musa berkata Sabah masih memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan pusat untuk meningkatkan lagi kemudahan awam seperti hospital dan klinik kerajaan, sekolah dan universiti, infrastruktur seperti jalan raya, air dan elektrik serta aset-aset keselamatan untuk memperkukuh lagi aspek pertahanan di negeri ini.

Lebih 2,000 penjawat awam negeri dan Persekutuan menghadiri perhimpunan itu.

-- BERNAMA

Comment